Malaysia Dateline

Selepas tiga hari rasmi, istilah ‘wira’ diarah ganti dengan ‘askar’

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, perkataan ‘wira’ di papan tanda pada Tugu Jepun di Alor Setar itu akan ditukar kepada ‘askar’.

Beliau dilapor hari ini mengarahkan penurunan papan tanda tersebut yang Khamis lalu dirasmikannya dalam program anjuran Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) dan Muzium Negeri Kedah itu.

Mengakui kesilapan tersebut, Asmirul yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata, beliau mahu perkara itu segera diperbetulkan.

“Saya mengarahkan dan saya sendiri yang buang (papan tanda) untuk memberbetulkan perkara itu secepat mungkin supaya tidak menjadi isu,” dipetik Malaysiakini.

Asmirul berkata, monumen tersebut telah wujud sejak pentadbiran BN dan Pejabat Konsulat Jepun menawarkan untuk melakukan proses pemulihan kerana ia berada dalam keadaan tidak terjaga.

“Ia hanya dicantikkan sebab daripada (terbiar) kotor dan semak, Konsulat Jepun mahu biaya untuk mencantikkannya,” jelasnya lagi.

Menurut papan tanda tiga bahasa bersebelahan dengan tapak tersebut, tugu peringatan itu bagi mengenang tindakan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

Mereka bertiga terkorban ketika cuba untuk mendapatkan apa yang dikenali pada 13 Disember 1941 sebagai jambatan Alor Setar ketika peringkat awal penaklukan kuasa penjajah Jepun di Tanah Melayu dan Borneo.

Terdahulu, orang ramai mengkritik penggunaan ungkapan pada Tugu Wira Jepun itu kerana dilihat mengagungkan Jepun yang menduduki Tanah Melayu pada tahun 1940-an selama kira-kira tiga tahun setengah.

Asmirul (tengah) bersama wakil Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Kedah) dan Muzium Negeri Kedah pada perasmian Tugu Wira Jepun, 21 Mac lalu.