Malaysia Dateline

Selepas tiga jam mesyuarat Bersatu, Muhyiddin enggan ulas keputusan

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin enggan mengulas keputusan mesyuarat yang dipengerusikannya mengenai hubungan parti itu dengan Umno.

Selepas tiga jam bermesyuarat, beliau hanya memberitahu pemberita bahawa keputusan mengenai hubungan Bersatu dengan Umno akan dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Ada keputusan tapi akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu menerusi kenyataan sebentar lagi,” jawabnya ringkas kepada media.

Muhyiddin berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di Putrajaya hari ini.

Pagi tadi, Hamzah pada kenyataannya mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 26 Februari lalu telah menghantar surat berkenaan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) ke-15 bermula.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini hanya mendapat sokongan 109 ahli Parlimen.

Dari segi komposisi anggota Dewan Rakyat pasca Langkah Sheraton, Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen manakala Bersatu memiliki 31 ahli Parlimen.

Keengganan Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu itu dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketika Pas bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi pada masa sama dilihat mesra Bersatu, situasi berebut kawasan majoriti pengundi Melayu melibatkan ketiga-tiga parti itu sukar dielak.

Pada 5 Januari lalu, Muhyiddin selaku Pengerusi PN melantik Pas menerajui empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN.

Senarai pelantikan terbabit diumum selepas 189 daripada 191 bahagian Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.