Malaysia Dateline

Selepas tiga tahun kahwin, pemimpin Wanita DAP sah cerai talak satu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman sah bercerai talak satu dengan suaminya, Muhammad Masyhur Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Masyhur, 32 selaku plaintif melafazkan cerai terhadap Young Syefura, 30, atau lebih dikenali dengan panggilan Rara di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.

 

Mohd Saifullah mensabitkan perceraian dengan talak satu dan memerintahkan Young Syefura selaku defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan selain perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.

Untuk rekod, Rara yang merupakan Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP menang di DUN Ketari pada PRU-14 dengan majoriti 3,710 undi.
Pemegang diploma kejururawatan tersebut sebelum ini terlibat dalam banyak aktiviti kesukarelaan selain peka pada isu sosial seperti gelandangan dan ibu tunggal.

Terdahulu, Muhammad Masyhur memberitahu mahkamah bahawa permohonan cerai dibuat selepas mendapati tiada lagi persefahaman dalam perkahwinan yang dibina sejak tiga tahun lalu.

“Tiada persefahaman antara satu sama lain. Usaha untuk menyelamatkan perkahwinan dibuat tetapi tidak berhasil,” kata Muhammad Masyhur sebelum lafaz cerai dibuat.

Kedua-dua pasangan berkenaan hadir bersama tanpa diwakili peguam malah masing-masing kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Permohonan cerai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 2003 itu difailkan pada 1 Mac 2019.

Rara berkahwin dengan Muhamad Masyhur yang bekerja sebagai pengurus pelaburan pada 24 September 2016. Walau bagaimanapun, mereka tidak dikurniakan anak.