Malaysia Dateline

Selepas TMJ bertemu Rina dan wakil UNICEF, 4 peguam pemerhati hadir bicara kes Bella

Susulan pertemuan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam, seramai empat peguam pemerhati yang dicadangkanTunku Ismail hadir pada perbicaraan kes penderaan Bella di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini.

Empat peguam terbabit ialah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Kehadiran mereka turut mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pada 17 April lalu, TMJ menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja Sindrom Down yang antara lain dipaksa makan najis dan disimbah air panas itu.

Semalam, selain Rina, TMJ juga bertemu wakil Pertubuhan Antarabangsa Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club, Johor Bahru.

Pertemuan tersebut bagi membincangkan isu kes Bella yang berusia 13 tahun itu dan mendapatkan taklimat mengenai langkah diambil kementerian terbabit.

Dalam perbincangan tersebut juga TMJ mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan Bella tidak berulang termasuk penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dilakukan segera.

Kezaliman dialami Bella yang menarik perhatian orang ramai menyaksikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang diwakili 10 peguam telah diheret ke mahkamah.

Bagaimanapun, penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baca Siti Bainun ‘meletup’ di media sosial, peguamnya dikecam warganet

Baca Peguam Siti Bainun ‘koyak’ lepas dihentam netizen