Malaysia Dateline

Selepas tuduh Veveonah menipu, Timbalan Menteri Komunikasi salahkan rakyat pula

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin menyalahkan rakyat sebagai punca kepada ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

Wakil rakyat Umno-BN itu mendakwa keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyebabkan kerajaan tidak mempunyai jumlah majoriti kerusi Parlimen.

Reaksi Ahli Parlimen Padang Besar itu selepas ditanya pemberita tentang titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar ahli politik berhenti bermain politik.

“Itu saranan yang patut kita ikut tetapi keadaan sekarang ini 50-50. Jadi, pelabur tidak akan datang. Ekonomi negara kurang baik.

“Dan yang buatkan keadaan begini ialah rakyat. Rakyat yang undi 50-50 ini, yang undi dahulu ini (PRU14) kerana rakyat kena tipu.

“Masalahnya PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tidak payah bayar, tol percuma, GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) harga turun barang. Tapi benda itu semua tidak berlaku,” katanya.

Semalam, Al-Sultan Abdullah mengulangi peringatan kepada ahli politik agar menghentikan segala perbalahan sehingga mengganggu tugas pentadbiran negara.

Malah, Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk mana-mana Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Zahidi kemudiannya mengulangi tudingan jari kepada rakyat dan dalam masa sama mendakwa ahli politik kononnya tampil untuk membetulkan keadaan.

“Rakyat yang buat keputusan itu. Keadaan hari ini rakyat yang buat keputusan tersebut.

“Orang politik ini hanya nak betulkan keadaan sahaja. Jadi, bagaimana kita hendak betulkan keadaan? Ini yang patut kita beri pandangan,” tegasnya lagi dalam klip video reaksinya itu yang tular di media sosial.

Bulan lalu Zahidi mencetuskan kontroversi apabila menuduh penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin tidak mengambil peperiksaan ketika memanjat pokok dalam video tularnya.

Dia juga ketika membahaskan Belanjawan 2018 di Parlimen pada 7 November 2017 pernah mengaitkan banjir besar yang melanda utara Semenanjung Malaysia dengan “hukum karma” iaitu balasan Tuhan.