Malaysia Dateline

Selepas tujuh bulan bersabar, Muda tekad ‘ajar’ Menteri Dalam Negeri, RoS

Sejak 17 September tahun lalu, Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (gambar) telah membuat permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Walau bagaimanapun, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri menolak permohonan parti tersebut pada Januari lalu.

Sehubungan itu, Syed Saddiq semalam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang masih belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman Sreenevasan dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lalu yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.

Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 4 Februari lalu, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.