Selepas tujuh tahun, sekolah yang dijanjikan tidak nampak bayang

Selepas tujuh tahun, sekolah yang dijanjikan tidak nampak bayang

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dalam kenyataannya semalam mempersoalkan janji Menteri Besar (MB) Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk membina sebuah sekolah Tamil baru di Pulau Pangkor seperti yang diumumkan beliau pada 2011.

Kata beliau, pada bulan Oktober 2011, MB Perak telah menjanjikan pembinaan sebuah sekolah Tamil yang baru di Pulau Pangkor.

SJK(T) Pangkor yang sedia ada kata Zambry, adalah tidak sesuai kerana terlalu kecil dan berhampiran dengan kuil Hindu di Sungai Pinang Besar. Sekolah ini juga tidak mempunyai padang permainan, kata Sivakumar.

Jelasnya, MB Perak yang juga merupakan Adun Pangkor telah berjanji memindahkan sekolah ini ke tempat lain.

“Beliau berkata tanah seluas 1.2 hektar akan disediakan untuk membina sebuah sekolah baru dengan 18 bilik darjah dan padang permainan bagi menampung sejumlah 130 orang murid.

“Ini adalah janji yang dibuat oleh MB Perak merangkap ketua Barisan Nasional (BN) Perak sebelum PRU13.

“Sekarang, selepas tujuh tahun, kita masih belum nampak apa-apa usaha yang diambil oleh kerajaan BN untuk mengotakan janji kepada kaum India di Pulau Pangkor.

“MB Perak tidak boleh selesaikan isu tanah bagi sekolah Tamil di kawasannya sendiri? Ini adalah sikap yang amat mengecewakan,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak itu.

Tambah beliau, rakyat harus sedar bahawa ini adalah perangai pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tidak memberi komitmen kepada janji yang diberikan.

Pemimpin-pemimpin MIC pula katanya, tidak berani menyuarakan masalah kaum India dan sentiasa menjadi ‘pak turut’ untuk menjaga kepentingan dan kedudukan politiknya.

“Oleh yang demikian, warga Pulau Pangkor secara khusus dan warga Perak secara umum harus menolak BN dalam PRU14,” katanya.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES