Malaysia Dateline

Selepas Ummah Care, Aid4Palestine juga nafi sokong darurat dikekalkan

Susulan laporan yang mendakwa 440 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong tempoh darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, Sekretariat Aid4Palestine yang dinaungi Presiden Pas juga menafikan badan itu terlibat dalam keputusan tersebut.

Wakilnya, Dr Suhazeli Abdullah berkata, keputusan itu sama sekali tidak pernah dibincangkan.

Bahkan katanya, Sekretariat Aid4Palestine adalah gabungan NGO tanpa kecenderungan politik bagi membuat kutipan dana awam untuk membantu Palestin.

“Bukan tujuan utama Sekretariat Aid4Palestine ini ditubuhkan untuk menyokong kenyataan politik sedemikian

“Pihak Sekretariat Aid4Palestine merasa kesal atas penggunaan nama NGO secara tidak bertanggungjawab itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekretariat itu juga memohon agar Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menarik balik senarai nama NGO berkenaan.

Pada semalam, Ummah Care Malaysia turut menafikan pihaknya terlibat sebagai antara 440 NGO Islam yang menyokong tempoh darurat dikekalkan seperti yang didakwa oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa yang disiarkan media rasmi Pas, Harakahdaily.

Presiden Ummah Care, Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria berkata, pihaknya tidak pernah dihubungi mana-mana individu termasuk oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah atau wakilnya sebelum kenyataan itu disiarkan di Harakahdaily dua hari lalu.