Malaysia Dateline

Selepas Umno enggan kerjasama PN umum tanding semua 28 kerusi di Melaka

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Md Yassin berkata, partinya itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.

Namun katanya, rundingan dalam kalangan parti PN termasuk Pas dan Gerakan akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN nanti.

“Kita menjangkakan keputusan Umno enggan bekerjasama namun mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu parti itu untuk menyatakan pendirian.

“Ia termasuk keputusan sama ada sedia bekerjasama bagi mengelak pertembungan pada PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, hari ini.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno Barisan Nasional (BN) tidak tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi mana-mana pilihan raya.

Mahiaddin berkata, beliau menjangkakan perkara berkenaan (UMNO enggan bekerjasama) namun tetap menunggu pengesahan daripada mereka.

“Sekarang mereka mengesahkan tidak berbuat demikian dan itu fakta. Saya sudah maklumkan di Melaka, kita bersedia hadapi apa saja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat (penjuru) itu tidak menjadi masalah bagi PN.

“Sebab itu semalam saya gesa segerakan rundingan antara parti dalam PN. Pada dasarnya mereka bersetuju bertanding di 28 kerusi DUN. Kita bahagikan mengikut situasi dan keadaan serta diharapkan PN dapat mencapai kejayaan,” katanya dipetik Bharian.