Selepas Umno kecundang PRU14, Najib ulangi Melayu kini jadi terbangsat

Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini mengizinkan pencabulan terhadap bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

Bekas pemimpin yang akan dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata demikian dalam catatan terbarunya menerusi Facebook, malam tadi.

“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO hilang kuasa. Kita (Umno) sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah SWT ini.

“Insya-Allah, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, Umno boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu,” ujarnya.

Kali pertama Najib berpendapat Melayu terbangsat jika Umno hilang kuasa adalah ketika berucap pada perasmian berkelompok persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020 pada 23 Ogos 2015.

PRU-14 mencipta rekod kemusnahan BN yang ditunjangi Umno selepas 61 tahun menjadi pemerintah apabila kalah teruk selepas Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat dengan 122 kerusi Parlimen.

Sebaliknya, BN hanya menang di 79 kerusi Parlimen dengan 55 daripadanya disumbangkan Umno.

Najib, 65, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil oleh polis dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan berhubung siasatan skandal 1MDB.

Pada hari sama pengumuman polis berhubung nilai rampasan pelbagai barang mewah di enam premis dikaitkan dengan Najib, bekas Perdana Menteri itu di pejabat Malaysiakini pada 27 Jun lalu memberitahu Rosmah sendiri terkejut dengan jumlah rampasan yang didedah mencecah hingga RM1.1 bilion itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan berkenaan pernah mendakwa wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagaimanapun secara konsisten menafikan sumber wang tersebut bukan dari syarikat pelaburan negara sarat hutang itu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS