Selepas Umno, Pas pula bantah pelantikan Eric Paulsen wakili Malaysia dalam AICHR

Selepas Umno, Pas pula bantah pelantikan Eric Paulsen wakili Malaysia dalam AICHR
Nasrudin Hassan

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) membantah sekeras-kerasnya pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asena Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, pengasas Lawyer for Liberty (LFL) itu tidak layak mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia kerana dakwanya sering menghina Islam.

“Apa motif sebenar YB Menteri Luar untuk melantik Eric Paulsen?

“Umum mengetahui, Pas dan banyak NGO telah membantah ICERD. ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa yang mahu diratifikasi oleh Menteri Luar walaupun ditolak sendiri oleh YAB Perdana Menteri.

“Kini, beliau sengaja sekali lagi membuat provokasi dengan melantik individu yang biadap dan menghina Islam bagi mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Eric Paulsen

Beliau mengulas pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil baharu Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mendapat mandat daripada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut Nasrudin lagi, Pas mahu umat Islam bangkit menolak pelantikan Eric Paulsen dan menggesa Menteri Luar membatalkan pelantikan tersebut.

“Apa yang membimbangkan rakyat adalah segelintir menteri cuba membawa doktrin liberal dan anti Islam sebagai tokoh negara.

“Walhal, Malaysia mempunyai sendi utama yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan.” katanya.

Semalam dua pemimpin Umno mempertikaikan pelantikan Eric Paulsen antaranya Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.

Dr Asyraf berkata, pelantikan yang dibuat oleh Saifuddin itu dianggap tidak bertepatan dengan sikap Eric yang anti Islam di negara ini.

Manakala Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut menyifatkan Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty itu sebagai seorang yang sangat kontroversi selain mempunyai perspektif dan pandangan sangat liberal.