Malaysia Dateline

Selepas ‘ustaz segera’ terpalit kontroversi, Jakim teliti garis panduan program realiti agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempertimbangkan garis panduan penganjuran program realiti agama.

Menurutnya, langkah itu akan memberi pemahaman lebih baik serta panduan bersyarat dalam penerbitan program berkenaan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menegaskan peserta program realiti agama harus menjaga keperibadian.

“Sebagai pendakwah mereka sering menasihati orang lain dan jarang orang menasihati mereka, jadi kita perlu sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Reaksi Zulkifli itu merujuk kepada isu pendakwah selebriti atau ‘ustaz segera’ yang lahir daripada rancangan realiti televisyen dan terpalit dengan kontroversi.

Hangat diperkatakan kini seorang pendakwah muda bergelar Da’i ditahan reman berhubung dakwaan merogol, mencabul, seks luar tabii dan mencederakan sejumlah gadis.

Lima lagi laporan polis dibuat mangsa jenayah seksual membabitkan penyanyi berusia 25 tahun yang berkenalan dengan mangsa menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram sebelum dipelawa untuk berkenalan dan keluar makan itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berhubung kes membabitkan pendakwah selebriti itu.

“Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa muhasabah diri dan selagi belum disabitkan bersalah kita tidak boleh menghukum individu berkenaan,” katanya.