Sebaik sahaja selesai pemilihan PKR, DAP berharap fokus seterusnya memperkukuhkan kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRU15.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, semua pemimpin dalam Pakatan Harapan terutamanya ahli-ahli Majlis Presiden perlu merapatkan saf dan menggembleng seluruh tenaga untuk memenangi semula keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Harapan.
Beliau percaya, dengan kerjasama yang erat dan semangat berpasukan yang tinggi serta fokus kepada perjuangan rakyat, Pakatan Harapan mampu bangkit semula dalam PRU15.

Secara peribadi, beliau juga merakamkan penghargaan kepada rakan seperjuangan, Saudara Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dari tahun 2012 sehingga 2022, kami telah menjalin hubungan kerja yang amat rapat dan kukuh.
“Kami sentiasa memainkan peranan di belakang tabir untuk mengurus dan menyelesaikan apa sahaja isu yang timbul dalam hubungan di antara PKR dan DAP.
“Hubungan kerja yang rapat ini telah membentuk satu persefahaman dan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain.
“Saya berharap beliau akan terus berjuang dan menyumbang tenaga demi keutuhan Pakatan Harapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang baru dipilih melalui proses pemilihan parti mereka khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Saudara Rafizi Ramli yang terpilih sebagai Timbalan Presiden.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada Naib-naib Presiden PKR yang baru iaitu Dato’ Seri Amirudin Shaari, Sdr Chang Lih Kang, Sdr Nik Nazmi Nik Ahmad dan Dato’ Seri Aminudin Harun,” katanya.
Baca juga: Kemenangan Rafizi isyarat ahli PKR, Anwar bukan lagi ‘poster boy’?