Malaysia Dateline

Selesai segera kesesakan kontena di Per Klang, atau harga barang akan naik

Kerajaan diminta menyelesaikan segera kesesakan kontena yang berlaku di Perlabuhan Klang kerana ia sekarang berada pada tahap yang membimbangkan.

SYED IBRAHIM SYED NOH

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sekiranya masalah kesesakan ini berlanjutan, kekurangan bekalan dalam pasaran akan menyebabkan kenaikan dalam harga barang.

Sudah tentu perkara ini akan membebankan rakyat lebih-lebih lagi dalam tempoh fasa pemulihan ekonomi ini, kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.

“Situasi ini membawa kesan buruk apabila bekalan makanan import seperti sayur dan makanan tidak dihantar ke pemborong dan peruncit mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Akhirnya, bekalan makanan ini rosak menyebabkan pengimport terpaksa menanggung beban dan menaikkan kos,” kata Syed Ibrahim, Jurucakap Telekomunikasi, Digital Dan Pengangkutan PKR.

Menurut beliau, perkara ini pernah dibawakan sebagimana masalah yang sama dihadapi oleh sektor kargo udara dalam sidang parlimen baru-baru ini.

“Saya berpendapat isu ini sangat relevan memandangkan ia akan membawa impak secara tidak langsung kepada rakyat.

“Saya sedia maklum bahawa pihak berkuasa seperti LPK dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sedang bekerjasama dalam menangani isu ini. Namun, saya menyarankan agar Kementerian Pengangkutan (MOT) lebih proaktif memainkan peranan,” kata beliau.

Katanya, MOT wajar berhubung dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pihak pelabuhan, pengimport dan pemborong serta peruncit bagi mencari titik penyelesaian terhadap isu ini. Cadangan seperti membuka “laluan hijau” bagi barangan yang mudah rosak dan melipatgandakan waktu operasi seperti yang diamalkan oleh pelabuhan Labuan harus diteliti.

Selain itu, MOT juga boleh mempertimbangkan pelaksanaan usaha pemindahan kargo di luar kawasan pelabuhan bagi tujuan simpanan dan aktiviti berkenaan.

Tambahan lagi, sebarang prosedur dan karenah birokrasi yang melewatkan juga wajib diteliti semula dalam situasi sekarang, katanya.

Isu kesesakan kontena di Pelabuhan Klang dengan tahap sedia ada yang membimbangkan.

Pengurus pembangunan perniagaan Frespro Sdn Bhd Andrew Tay melaporkan masalah kesesakan itu berlarutan selama lebih kurang sebulan.

Kebiasaannya, proses penghantaran barangan hanya mengambil masa dua hari untuk dihantar ke destinasi. Namun, proses ini berlanjutan memakan masa hampir seminggu akibat kesesakan yang berlaku.

Sektor barangan import akan mengalami permintaan yang tinggi sehingga tiga kali ganda menjelang musim perayaan tahun baru cina.

Memandangkan perayaan tahun baru cina disambut pada awal februari, permintaan barangan import sudah menerima permintaan tinggi kini.

Menurut Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) , perkara ini berlaku kerana peningkatan kapal kontena secara mendadak berikutan kelewatan di pelabuhan dan faktor cuaca buruk.