Malaysia Dateline

Selesaikan Covid-19 secara tuntas, bukan pilihan raya umum

Parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad beranggapan sekarang bukan masa yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum kerana ancaman Covid-19.

Oleh itu, presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menyifatkan sekarang bukan masa sesuai untuk mana-mana pihak menggerakkan usaha ke arah mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, negara masih bedepan ancaman Covid-19 dan keutamaan semua pihak ketika ini adalah memikirkan tentang keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Kami rasakan bahawa bukan masanya untuk adakan pilihan raya umum lagi. Biarlah habis penggal ini pun tak apa iaitu pada 2023.

“Tapi dalam tempoh sekarang sampai tempoh 2023, kalau ubah semula kerajaan tak apa asalkan jangan kita mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak ini seperti mana yang berlaku setelah Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sanitasi Masjid di Jerlun, semalam

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut disertai pembangkang juga menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya umum akan diadakan segera sebaik sahaja wabak Covid-19 reda.

Ini berikutan desakan yang dibuat oleh Umno agar pilihan raya diadakan segera untuk membentuk kerajaan baru berikutan kerajaan yang ada ini tidak stabil.

Menurut pengalisis, Muhyiddin besar kemungkinan akan memohon Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos nanti.

Ini kerana, kerajaan beliau kini adalah kerajaan minoriti berikutan pengumuman beberapa ahli parlimen Umno yang menarik sokongan mereka kepada beliau.

“Sebelum parlimen bersidang dan beliau terbukti hilang sokongan, dan kerajaannya jatuh, baik beliau membubarkan parlimen terlebih dahulu,” kata sumber itu.

Namun begitu, jika Muhyiddin berbuat demikian, agak sukar untuk kerajaan PN menang PRU dan Muhyiddin kekal sebagai PM.

Ini berikutan sokongan terhadap beliau yang jatuh menjunam sejak kebelakangan ini.

“Jadi dari kalah PRU baik berusaha kekalkan kerajaan yang ada dengan menyusun balik sokongan terhadap beliau, bukannya membubarkan parlimen,” kata penganalisis yang enggan dkenali itu.

Dr Mahathir sejak dari awal lagi mencadangkan agar kerajaan perpaduan dibentuk sehingga pilihan raya umum akan datang.