Malaysia Dateline

Selesaikan isu pekerja, kenaikan harga baja pekebun kecil Sawit

Di dalam penulisan Presiden MCA, Wee Ka Siong dalam Facebook Bahasa Tionghua yang bertarikh 4 Februari 2022, beliau berkata kepada pekebun kecil sawit di Johor bahawa “hubungan yang kurang baik di antara Malaysia dengan China dan India dalam tempoh pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan telah menyebabkan harga sawit jatuh, dan pekebun kecil sawit rasa gembira keadaan ini tidak berlaku lagi.”

Sebagai anggota Jemaah Menteri, Wee Ka Siong haruslah tahu minyak sawit adalah komoditi di mana turun-naik harga sawit adalah disebabkan oleh pelbagai faktor antarabangsa, dan bukan samada Malaysia ada hubungan baik dengan China dan India.

Selain daripada faktor-faktor permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa di sebalik wabak Covid-19, harga minyak sawit juga dipengaruhi oleh cuaca dunia, hasil pengeluaran dan juga harga tanaman minyak yang lain seperti kacang soya, bunga matahari dan rapeseed, dasar dan polisi negara pengeluar dan pengimport, stok minyak terkini dan lain-lain faktor.

Dasar Indonesia Terhadap Minyak Sawit Menyebabkan Kenaikan Harga Minyak

Sebab utama harga minyak sawit Malaysia naik secara berterusan adalah kerana dasar Indonesia baru-baru ini yang menghadkan pengeksportan minyak sawit mentah (CPO) sehingga berlakunya permintaan terhadap minyak sawit lebih tinggi daripada penawaran di pasaran minyak sawit antarabangsa, dan bukannya kerana kerajaan pintu belakang sekarang tidak menyinggung perasaan kerajaan India dan China.

Kerajaan Indonesia telah menetapkan yang pengeluar minyak sawit dalam negaranya mengenepikan 20% minyak sawit yang boleh dieksport untuk dijual kepada kilang penyaring tempatan pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah harga pasaran, dengan tujuan dijadikan minyak masak untuk penggunaan warga tempatan sebagai langkah mengurangkan inflasi.

Di samping itu, Indonesia tengah berusaha melaksanakan bio-diesel B30 (iaitu mencampurkan 30% minyak sawit dalam diesel) dan ia malah berancang untuk melaksanakan B40 pada tahun 2024, demi mencapai sasarannya untuk mengeluarkan 23% tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahun 2025.

Dasar Indonesia yang menghadkan pengeksportan minyak sawit mentah dan menyalurkan minyak sawit untuk digunakan oleh penduduk tempatan Indonesia, dan juga demi menggalakkan tenanga yang boleh diperbaharui (RE) merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak sawit.

Kekurangan Pekerja di Kebun Sawit Malaysia Menjejaskan Pendapatan Pekebun Kecil Sawit

Selain daripada faktor dasar kerajaan Indonesia terhadap sawit, kerajaan Malaysia belum lagi memutuskan kemasukan pekerja asing secara fizikal, tambahan ramai warga Malaysia enggan bekerja di ladang sawit telah menjatuhkan pengeluaran minyak sawit.

Tetapi hakikatnya, masalah kekurangan pekerja di ladang sawit dan kenaikan harga baja dan racun perosak menyebabkan ramai pekebun kecil sawit langsung tidak dapat menikmati manfaat sepenuhnya daripada kenaikan harga minyak sawit.

Sekiranya Wee Ka Siong mempunyai keikhlasan untuk membantu pekebun sawit di Johor, saya mencabar Wee Ka Siong meluluskan permohonan pekerja asing secara fizikal dapat bekerja di kebun sawit Johor dalam tempoh satu bulan, di samping memberi subsidi kepada harga baja yang semakin melonjak naik, sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil sawit.

Jika Wee Ka Siong memahami dan bersimpati dengan cabaran-cabaran pekebun sawit, dia sepatutnya memberi perhatian sepenuhnya mengatasi banyak lagi cabaran dan masalah yang dihadapi oleh industri minyak sawit di Malaysia demi kesenambungan dan kelestarian industri ini.

Ini termasuklah cabaran pasaran yang dihadapi (market access), cukai yang tidak adil seperti levi keuntungan luarbiasa (windfall profit levy), peningkatan kos (unabated cost increase) dan lain-lain lagi dan tidak asyik tergaut dengan polemik politik sahaja.


Kenyataan akhbar Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh merangkap mantan Menteri Industri Utama.