Malaysia Dateline

Selesaikan isu rakyat tanpa kewarganegaraan

Kerajaan diingatkan untuk menyediakan satu mekanisma yang jelas kepada individu yang mahu memohon kewarganegaraan, terutama bagi mereka yang sudah lama berdepan dengan masalah mengemukakan dokumen penting bagi kelulusan permohonan tersebut.

Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berjanji akan menyelesaikan isu individu yang gagal mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi mereka yang sudah lama menetap di Malaysia.

Koordinator Kumpulan hak asasi Lawyers for liberty (LFL), Zaid Malik berkata, kementerian perlu menetapkan jenis dokumen apa yang diperlukan untuk kelulusan permohonan, selain menugaskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberi panduan kepada individu yang tampil membuat permohonan.

“Yang paling penting, dokumen yang diperlukan mesti lah masuk akal. Orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan umumnya tidak mempunyai bentuk pengenalan diri yang betul dan formal.

“Sekiranya jelas bahawa pemohon berhak mendapatkan kewarganegaraan, kekurangan dokumen tidak boleh dijadikan penghalang untuk mengesahkan kewarganegaraan pemohon.

“Ini boleh berlaku misalnya, di mana seseorang dilahirkan dan telah tinggal di Malaysia sepanjang hidupnya, tetapi tidak mempunyai dokumen diri yang formal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, semasa sesi penggulungan KDN dalam sidang Dewan Rakyat, Hamzah berkata kementeriannya akan memperuntukkan tempoh selama setahun bagi mana-mana individu yang berdepan masalah mendapatkan kewarganegaraan, untuk tampil mengemukakan dokumen lengkap.

Dalam hal ini, Zaid berkata, pihaknya menyambut baik sekiranya Menteri Dalam Negeri secara khusus boleh menyatakan bahawa selain daripada dokumen yang sah, kerajaan juga akan menerima “bukti (dokumen) lain”.

Menurutnya, masalah utama yang sering dihadapi adalah kegagalan JPN untuk membezakan antara mereka yang membuat permohonan kewarganegaraan dan mereka yang memenuhi syarat sebagai warganegara.

Ini kerana katanya, ramai permohon yang ditolak permohonannya walaupun mereka memenuhi kriteria yang diperlukan.