Selesaikan konflik yang dihadapi PH, beri tumpuan pada rakyat, kata Teras

Selesaikan konflik yang dihadapi PH, beri tumpuan pada rakyat, kata Teras

Setiap konflik yang membabitkan komponen Pakatan Harapan (PH) sudah pasti akan memberi impak kepada kepimpinan kerajaan sedia ada.

Oleh kerana itu apa jua insiden dan pertikaian yang berlaku sama ada melibatkan AMANAH, PKR, Bersatu maupun DAP sudah pasti akan memberi kesan kepada parti yang memerintah.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, sebelum ini isu membabitkan kes cabul exco negeri Perak dan kumpulan pengganas LTTE mencalarkan imej DAP dan ia tidak dapat disembunyikan setelah ia melibatkan anggota parti tersebut.

Begitu juga dengan krisis dalaman PKR yang hangat diperkatakan membabitkan sokongan terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.

“AMANAH merupakan komponen PH yang dilihat tidak mempunyai konflik besar sehingga mampu mencalarkan imej kerajaan yang sedang memerintah.

“Manakala Bersatu juga belum dilihat berada dalam krisis yang boleh memecahkan kesepaduan yang ada antara komponen menjelang himpunan parti tersebut yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Sejajar dengan itu semua komponen dalam PH harus menyedari bahawa kehadiran mereka adalah sebagai kerajaan yang memerintah dan bukannya atas ‘stand’ parti sendiri ketika ini,” tegasnya.

Sehubungan itu kata Abdullah, rakyat yang telah memberi mandat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu akan sekali lagi mengulangi pendirian mereka dalam PRU yang akan datang tidak lama lagi.

“Apakah mungkin rakyat akan memberi mandat sekali lagi sekiranya terdapat ramai pimpinan kerajaan yang sedang memerintah lebih mengutamakan ghanimah dan habuan sepertimana yang sedang didombakan tatkala ini.

“Rakyat sudah pasti akan menolak kerajaan yang tidak memberi prioriti secara total untuk membela nasib mereka khususnya golongan marhaen.

“Ini termasuklah mereka yang masih berada pada takuk lama dan tiada perubahan nasib sama ada dari segi infrastruktur dan juga pendapatan keluarga mereka jika dibandingkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu,” tambah beliau.

Rentetan itu ujarnya, reformasi drastik mesti dilakukan oleh semua komponen PH setelah menerajui kepimpinan dengan turun ke padang melalui cawangan dan ranting parti masing-masing, menjenguk nasib penoreh getah, nelayan, pesawah, pekebun, buruh dan lebih-lebih lagi lepasan universiti yang begitu ramai masih menganggur.

Malah katanya, tempoh pemerintahan berbaki yang ada wajib dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuktikan kepada rakyat bahawa PH lebih baik dan memberi pembelaan kepada rakyat jika dibezakan dengan pemerintahan sebelum Mei 2018.