Malaysia Dateline

Selesaikan masalah air Pahang dulu sebelum Kelantan, kata AMANAH Pahang

Timbalan Ketua AMANAH Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak perlu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri beliau sendiri, iaitu Pahang terlebih dahulu.

Syed Hamid Syed Mohamed

Tidak usah menabur janji akan menyelesaikan masalah air di negeri Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat menerajui Putrajaya, kata beliau kepada Malaysia Dateline.

“Sudah sekian lama BN menerajui Kerajaan Pusat dan diberi mandat oleh rakyat Pahang tapi sehingga kini masalah bekalan air masih menghantui rakyat negeri ini.

“Pahang bukan ketiadaan air, tetapi sistem penyaluran bekalan air ke daerah-daerah dan kemudian ke kawasan-kawasan kediaman bermasalah akibat penggunaan peralatan lama yang perlu diganti.

“Paip-paip yang menyalurkan air di negeri ini masih kebanyakannya paip lama, yang sering pecah mengakibatkan bekalan air terganggu,” kata Adun Kuala Semantan itu.

Kata beliau, Pahang sebuah negeri yang besar, kerja-kerja penggantian peralatan lama ini melibatkan kos yang besar.

“Pahang memperuntukkan sejumlah dana yang besar daripada bajet tahunannya untuk berhadapan masalah air ini.

“Namun disebabkan dana tidak mencukupi, kerja-kerja pembaikan dan penggantian berjalan secara perlahan,” tambah beliau.

Masalah bekalan air di Pahang sering diberi liputan oleh akhbar dan media.

Justeru kata Syed Hamid, sekiranya Najib melihat masalah air ini sesuatu yang serius, Kerajaan Pusat perlu memberikan geran khas kepada Pahang untuk membiayai kerja-kerja pembaikan sistem penyaluran air bersih ini dibuat secara menyeluruh.

“Bantu kerajaan BN Pahang ini dulu sebelum membuat janji mahu bantu Kelantan,” kata beliau.

Masalah bekalan air di Pahang sering diberi liputan oleh akhbar dan media dan ia melibatkan banyak daerah di negeri itu seperti di Lancang, Mentakab, Bera dan Jerantut.

Penduduk tempatan terpaksa menggunakan bekalan alternatif seperti air sungai apabila bekalan air paip terputus.