Selesaikan masalah asasi Melayu, usah ahli akademik diperalat atas nama bangsa

Selesaikan masalah asasi Melayu, usah ahli akademik diperalat atas nama bangsa

Saya Abdul Muqit bin Muhammad, daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya diberikan taklifan oleh Universiti Malaya untuk menyampaikan rumusan isu-isu serta resolusi yang telah dibangkitkan oleh para peserta dan perwakilan yang terdiri daripada ahli akademik, mahasiswa, budayawan, aktivis sosial, ahli politik, wartawan dan sebagainya.

Buat pengetahuan semua, Universiti Malaya diberi tanggungjawab untuk memfokuskan Kluster Politik dan membincangkan beberapa isu yang berkait dengan cabaran-cabaran semasa orang Melayu, terutamanya kemerosotan politik Melayu pasca PRU-14.

Sebanyak dua kali perbincangan meja bulat dan bengkel kluster politik telah pun diadakan di Universiti Malaya, bagi menghimpunkan dan membahaskan pandangan-pandangan sebelum dirumuskan sebagai resolusi.

Ringkasnya, ada empat isu utama yang telah dibincangkan:

1) Teras politik Melayu tergugat
2) Pemerkasaan kebijaksanaan politik Melayu
3) Iltizam politik dalam agenda ekonomi.
4) Belia Melayu jauhi politik.

 

TERAS POLITIK MELAYU TERGUGAT

Bercakap mengenai teras politik Melayu, saya suka umpamakan teras politik Melayu ini iaitu Melayu dan Islam sebagai sebuah akar yang terpasak kukuh di dalam tanah. Dan pokoknya yang rendang itu ialah negara Malaysia seperti yang kita lihat pada hari ini, yang menjadi tempat berteduh bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi juga kepada sesiapa sahaja baik kepada orang Cina, India dan juga suku-suku etnik yang lain asalkan mereka menghormati dan memahami elemen-elemen yang membentuk akar dan teras negara kita ini.

Maka, sebarang tindakan untuk merosakkan akar dan tunjang ini akan menjejaskan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kepada negara ini secara seluruhnya.

Akar atau tunjang yang kukuh perlu dibina di atas sejarah, dan sejarah Malaysia pada hari ini tidak bermula pada zaman Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ataupun pada tahun pembentukan Malaysia tahun 1963 tetapi terbina atas sejarah dan tamadun-tamadun silam orang Melayu, misalnya kerajaaan Kedah Tua, tamadun yang terbina ialah tamadun Melayu, bukannya tamadun Hindu meskipun mereka beragama Hindu.

Ada pihak yang mendakwa tamadun Kedah Tua itu ialah lambang kepada tamadun orang India. Ternyata mereka juga keliru antara maksud ras dan juga agama. Kenyataan ini dilakukan, tidak lain tidak bukan untuk menghilangkan pegangan identiti nasional yang berteraskan Melayu itu tadi.

Teras kedua, ialah agama Islam. Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu membawa satu semangat yang baharu kepada orang Melayu, berbeza dengan kedatangan agama-agama lain sebelumnya.

Syed Naquib Al-attas dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, bahawa kedatangan agama lain tidak mengubah pandangan hidup masyarakat Melayu, tidak seperti agama Islam, yang mempengaruhi daya budi dan akal yang dapat kita lihat dalam bahasa dan tulisan.

Kerana itu kita perlu meletakkan sejarah sosial ini pada tempatnya. Sejarah ini perlu difahami dalam konteks yang betul supaya akar yang mendasari negara kita pada hari ini tidak dirosakkan dan diganggu gugat.

Kegagalan memahami konteks sejarah sosial inilah, yang membuatkan kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan mula dipersoalkan oleh sesetengah pihak yang menafsirkan perlembagaan negara secara literal semata-mata.

Tanpa memahami keadaan sosial orang Melayu ketika perlembagaan itu digubal dan juga keadaan sosial orang Melayu sehingga sekarang ini baik dari aspek ekonomi, Pendidikan, politik dan sebagainya.

Namun, teras politik ini tergugat kerana banyak faktor, yang disebutkan oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah sebagai yang pertama, kerana pengabaian oleh pemimpin Melayu itu sendiri, dan kedua kerana sabotaj oleh pihak yang tidak ingin mengiktiraf unsur-unsur budaya yang membentuk identiti politik anak watan.

Kita perlu akui kita berdepan dengan satu cabaran, yang mana generasi yang sekarang ini tidak lagi memiliki atau berkongsi tautan sejarah seperti datuk nenek moyang mereka.

Kerana itu, dalam memelihara teras politik ini, kita memerlukan sosok pemimpin yang tegas dan berani. Tegas dan berani yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar laungan kosong yang tidak bermakna, tetapi satu bentuk penegasan untuk berkata tidak kepada sebarang bentuk tuntutan yang tidak memenuhi aspirasi nasional ini.

Sekiranya pemimpin Melayu memahami aspirasi nasional ini, saya yakin tidak akan ada pihak yang berani mencabar baik secara tersembunyi ataupun secara terang-terangan seperti isu penolakan pengajaran tulisan Jawi, tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam majlis-majlis yang rasmi, tidak menghormati lagu kebangsaan dan banyak lagi isu yang dilihat orang Melayu sebagai satu aksi untuk mencabar orang Melayu.

Cabaran semasa yang sedang dihadapi oleh orang Melayu ini ialah apabila parti yang berteraskan Melayu dan Islam tidak lagi menjadi parti yang dominan di dalam kerajaan berbanding dengan kerajaan BN sebelumnya.

PH juga tidak mempunyai keupayaan untuk menandingi wacana Melayu-Islam yang dibentuk oleh dua parti politik Melayu Islam terbesar iaitu Umno dan Pas yang berada di pihak pembangkang.

Mereka juga bersikap apologetik, dan sikap apolegetik beberapa parti komponen di dalam kerajaan telah membawa isyarat bahawa mereka gagal memahami bentuk budaya dan sikap politik orang Melayu.

Misalnya dalam slogan rahmatan Lil ‘alamin, satu konsep yang besar sebenarnya, yang melambangkan kesejagatan Islam, tetapi melalui tulisan-tulisan dan ucapan-ucapan
Datuk Seri Dr Mujahid kita dapat lihat, konsep itu telah dikecilkan skopnya hanya kepada membicarakan soal hubungan antara kaum dan agama semata-mata.

Dan lebih malang lagi, isu hubungan antara kaum dan agama dihalakan hanya kepada orang Melayu sahaja, seolah-olah orang Melayulah yang paling bermasalah dalam isu hubungan antara kaum ini. Sedangkan orang Melayulah, satu bangsa yang sangat bertolak-ansur. Tanpa tolak-ansur orang Melayu, kita tidak akan melihat Malaysia seperti mana yang kita lihat pada hari ini.

Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu perlu segera berubah sikap jika tidak mahu berterusan dihina.

 

PEMERKASAAN KEBIJAKSANAAN POLITIK MELAYU

Situasi semasa yang sedang melanda politik orang Melayu ialah mereka mempunyai literasi politik yang rendah, baik yang memimpin mahupun yang dipimpin.

Kebiasaan politik orang Melayu yang bersifat berkerajaan membuatkan mereka canggung untuk bergerak sebagai pembangkang. Yang ini UMNO perlu belajar menjadi pembangkang daripada PAS. PAS dan UMNO, meskipun merupakan gabungan parti politik Melayu-Islam terbesar dalam negara, masih gagal menjadi pembangkang yang berkesan. Masih gagal menjadi pembangkang yang berupaya menjalankan tugas-tugas semak-imbang (check and balance) kepada kerajaan.

Mereka tidak tahu untuk bergerak sebagai sebuah gerakan sosial yang efektif seperti Bersih misalnya, untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan mereka secara organik dan tersusun agar dapat didengari oleh kerajaan.

Kita gagal melihat perjuangan untuk mengangkat agenda Melayu ini sebagai sebuah agenda yang bipartisan (melangkaui ideologi politik kepartian). Mengangkat agenda Melayu perlu dilihat sebagai sebuah agenda nasional dan kepentingan bersama (common interest) yang perlu diperjuangkan oleh mana-mana parti.

Kesedaran mengenai pendidikan politik perlu digiatkan dari zaman sekolah lagi dengan mewujudkan modul politik di luar kurikulum.

Abdul Muqit berharap kongres dapat mengangkat isu hakiki orang Melayu kebanyakan bukannya segelintir elit Melayu.

ILTIZAM POLITIK DALAM AGENDA EKONOMI

Ekonomi tidak berdiri secara sendiri ataupun stand alone, tetapi turut dipengaruhi oleh agenda politik. Untuk itu, saya akan menyentuh serba ringkas mengenai political economy.

Iltizam politik atau political will dalam agenda ekonomi Melayu merupakan sikap yang perlu ada pada setiap pemimpin yang memegang kuasa. Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, agenda mengangkat ekonomi orang Melayu merupakan satu agenda nasional.

Dalam kita ingin menjadi sebuah negara maju, kita tidak boleh mengabaikan dan membiarkan sekolompok besar masyarakat masih lagi berada dalam paras kemiskinan yang membimbangkan. Dan kita perlu berani mengakui, sekolompok masyarakat yang miskin itu tadi merupakan orang Melayu, yang juga merupakan kaum majoriti di negara kita ini.

Muhammed Abdul Khalid, sekarang ini menjadi penasihat ekonomi kerajaan dalam bukunya The Colour of Inequality telah membangkitkan satu fakta yang penting untuk diingati. Iaitu program pembasmian kemiskinan tidak bersifat diskriminasi, program ini hanya dilihat berpihak kepada Melayu dan Bumiputera hanya kerana majoriti orang miskin itu ialah orang Melayu/ Bumiputera. Program pembasmian ini juga merangkumi penempatan orang Cina yang miskin.

Menginsafi dan menyedari hakikat kemiskinan itulah, Prof Diraja Ungku Aziz, seorang ekonomis yang cukup memahami denyut nadi kesusahan orang Melayu ini telah mengusulkan beberapa dasar ekonomi yang membangunkan ekonomi orang Melayu seperti Tabung Haji, MARA, RIDA, FELDA dan sebagainya. Dalam tulisannya, JejakJejak di Pantai Zaman, beliau bukan sekadar berbicara tentang teori-teori ekonomi tetapi tahu untuk menempatkan teori-teori ekonomi itu di celah-celah sosioekonomi orang Melayu yang majoritinya berteraskan pertanian dan perikanan.

Di sinilah berlakunya kesilapan pemimpin-pemimpin Melayu, mereka memfokuskan usaha untuk mengkorporatkan orang Melayu yang mana sektor korporat itu hanya boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh segelintir kecil elit Melayu, bukannya orang Melayu kebanyakan.

Sedangkan majoriti orang Melayu masih lagi berteraskan ekonomi tradisi seperti menjadi nelayan-nelayan, pekebun-pekebun kecil, petani-petani yang masih lagi terpisah daripada realiti ekonomi korporat sebegitu. Pengamalan dasar ekonomi neoliberal yang hanya menguntungkan golongan elit tidak memberi manfaat kepada kedudukan ekonomi orang Melayu kebanyakan. Termasuklah dalam soal pemilikan rumah mampu milik di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Antara paparan lagu rasmi Kongres Maruah Melayu bertajuk Sumpah Anak Watan dengan lirik oleh Habsah Hassan.

BELIA MELAYU JAUHI POLITIK

Berdasarkan PRU-14, pengundi muda merupakan golongan yang memegang undi terbesar sebanyak 7.09 juta, dan akan mengalami perubahan besar dengan pelaksanaan Undi 18. Namun, literasi politik mahupun penglibatan dalam politik dalam kalangan orang muda khususnya orang Melayu begitu merisaukan. Mereka dilihat menjauhi politik sama ada politik kepartian ataupun bersikap politikal.

Bahkan mereka dilarang oleh orang tua mereka, supaya tidak berpolitik ketika belajar, kalau tidak susah nak dapat kerja. Padahal jumlah penganggur yang berjumlah ratusan ribu itu, bukannya terlibat dalam politik pun. Tetapi itu yang tertanam dalam fikiran orang kita, sehingga membentuk satu budaya.

Penglibatan mereka dalam politik dilihat tidak signifikan dengan jumlah mereka yang ramai itu. Misalnya dapat dilihat melalui penglibatan mahasiswa dalam politik di peringkat universiti. Meskipun jumlah mahasiswa di seluruh negara mencecah setengah juta orang, namun penglibatan mereka dalam politik begitu kecil.

Hal ini perlu menjadi keresahan kita bersama, kerana negara memerlukan pemimpin-pemimpin muda yang berkualiti. Setiap tahun, UM keluarkan 5 ribu orang graduan, katakanlah setiap IPTA seluruh negara keluarkan graduan dengan jumlah yang sama, maknanya kita sudah ada 100 ribu orang graduan setiap tahun. Kalau dalam ramai-ramai itu tidak layak menjadi pemimpin, itu bermaksud ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kita.

Universiti Malaya misalnya, kalau dulu ramai menghasilkan pemimpin-pemimpin negara, Khalid Ibrahim, Rafidah Aziz, Tun Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi. Tetapi sekarang kebanyakan pemimpin-pemimpin yang agak muda, kebanyakannya keluaran universiti luar negara.

Saya menyalahkan pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) oleh Menteri Pendidikan ketika itu, atas krisis kepimpinan yang kita hadapi sekarang ini. Kesan daripada AUKU puluhan tahun yang lalu itu, hasilnya dapat kita lihat pada hari ini.

Hal ini saya sebutkan berpunca, daripada budaya politik Melayu itu sendiri. Yang saya sebutkan sebagai satu budaya kolektif orang Melayu. Ada beberapa budaya yang menjarakkan orang muda daripada politik, misalnya politik yang masih didominasi oleh orang tua.

Lihat sahaja berapa ramai belia (berumur bawah 30 tahun) yang diberi peluang berada di Dewan Rakyat, Dewan Negara, menjadi ADUN ataupun ahli Majlis kerajaan tempatan. PRU-14 yang lalu, banyak ditampilkan muka-muka muda dan baru sebagai calon, tetapi hanya diletakkan di kawasan yang tidak selamat. Yang selamat, semua diisi oleh warlord-warlord politik.

Seterusnya ketiadaan pemimpin muda Melayu yang berwibawa dan berkualiti. Pemimpin yang tidak lahir dari keresahan rakyat bawahan. Pemimpin muda yang tidak lahir dari kegelisahan masyarakat. Yang ramai, pemimpin Melayu yang keliru identiti dan tidak berakar umbi. Yang lahir dari kelas sosial yang tinggi tetapi tidak membumi.

Faktor-faktor yang saya sebutkan itu tadi saling bersalingan.

Antara peserta kongres mengangkat ikrar Sumpah Anak Watan.

KESIMPULAN

Saya ingin tutup ucapan saya ini dengan membangkitkan, kerisauan ahli-ahli akademik mengenai Kongres ini, sejauh manakah komitmen pemimpin-pemimpin Melayu khususnya di pihak kerajaan untuk melakukan perubahan selepas kongres ini berakhir.

Kami tidak mahu, dan tidak rela kami hanya digunakan untuk mengabsahkan tindakan-tindakan politik berkepentingan beratasnamakan Melayu. Sedangkan masalah-masalah asasi orang Melayu, kemiskinan dan kemelaratan, keresahan dan kegelisahan orang Melayu dalam negara masih gagal diselesaikan.

Pimpinan kerajaan khususnya, perlu mewaraskan semula segala ketidaksiuman yang sedang berlaku dalam negara kita ini. Dengan cara itu sahaja, kepercayaan kami terhadap pemimpin-pemimpin Melayu akan kembali pulih.

 

* Penulis merupakan pembentang bagi Kluster Politik dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam hari ini.