Selesaikan projek sakit BN di Hentian Bas Pengkalan Hulu

Selesaikan projek sakit BN di Hentian Bas Pengkalan Hulu
Penduduk menunjukkan botol arak yang turut bersepah di sekitar kawasan hentian bas baru tersebut.

Rata-rata penduduk Pengkalan Hulu, Perak yang ditemui menzahirkan keluh kesah kerana projek Hentian Bas Pengkalan Hulu yang merupakan salah satu projek sakit zaman BN sebelum ini belum dapat diselesaikan untuk manfaat penduduk hingga kini.

Malah tinjauan yang dibuat semalam turut mendapati hentias bas yang telah siap sejak sekian lama tidak dapat berfungsi sehingga menyakitkan mata memandang.

Akibatnya banyak pendawaian yang telah dicuri dan rosak serta menjadi kegiatan vandalisma yang berleluasa.

Manakala sampah sarap dan botol-botol arak turut memenuhi kawasan tersebut setelah ia menjadi tempat lepak remaja dan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Md Redzuan Hashim

Ahli Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Md Redzuan Hussain, yang turut turun padang bagi meninjau kawasan hentian bas yang didakwa sebagai projek sakit zaman BN lagi turut menyokong cadangan penduduk supaya hentias bas tersebut segera beroperasi/

Namun begitu katanya, perkara ini akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi supaya ianya dapat diatasi dengan kadar segera.

“Dengan membiarkan hentian bas ini tidak beroperasi dalam jangkamasa yang panjang, ia akan memberi kerugian bukan saja kepada penduduk tetapi juga kepada pihak kerajaan.

“Kos akan lebih meningkat dan bertambah sekiranya penyelenggaraan perlu dilaksanakan.

“Oleh kerana itu hentian bas yang telah siap sejak sekian lama perlu beroperasi dengan segera supaya ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat dan juga pelancong yang sering berulang alik dan masuk keluar ke sempdan Betong, Thailand, ” tambah beliau.

M.Sri Moga, penduduk Selarong, Pengkalan Hulu, ketika ditemui berkata, projek ini telah siap sekian lama, tetapi tidak dapat digunakan hingga sekarang dan menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat.

“Hentian bas ini telah siap sejak beberapa tahun yang lalu, tapi tidak dapat digunakan.

“Ia menjadi tempat peminum arak berkumpul pada waktu malam dan membuat bising serta mengganggu penduduk sekitar hentias bas ini.

“Selain itu banyak barangan dalam hentian bas ini telah dirosakkan dan dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, ” ujarnya.

Md Yunus Yusuf, yang juga merupakan seorang peniaga makanan berdekatan hentian bas tersebut pula berkata, sepatutnya hentian bas tersebut telah dapat beroperasi kerana ia telah siap beberapa tahun yang lalu.

“Kami amat berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan proses supaya hentias bas ini dapat beroperasi dengan segera.

“Buat masa ini penduduk terpaksa menggunakan hentian bas lama yang telah pun uzur tidak jauh dari sini.

“Adalah lebih baik hentian bas ini beroperasi dengan segera kerana ia juga berdekatan dengan pintu masuk ke sempadan Thailand iaitu Betong dengan jarak tidak sampai 1 kilometer, ” tegasnya lagi.

Hentias bas Pengkalan Hulu yang tidak dapat beroperasi sehingga kini.