Selesaikan segera masalah pelarian Rohingya, elak jadi rekrut Daesh

Selesaikan segera masalah pelarian Rohingya, elak jadi rekrut Daesh

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyokong penuh kenyataan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu yang mahu perhatian khusus diberikan kepada krisis pelarian Rohingya kerana dibimbangi para pelarian direkrut kelompok Daesh untuk memperluas jaringan kumpulan pengganas itu.

Pengurus Besar pertubuhan itu, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim bersetuju dengan gesaan Ryamizard Ryacudu kerana akidah yang tidak mantap akan memungkinkan perkara berkenaan terjadi.

“Keadaan mencabar yang terpaksa diharungi pelarian Rohingya sangat berkait rapat dengan ketahanan spiritual yang mana secara langsung berhubung dengan soal keimanan.

“Justeru, Serantau Muslim berharap lebih banyak usaha padu dari kuasa dunia dan Myanmar sendiri agar pelarian Rohingya dapat dibawa pulang secara bermaruah ke Myanmar.

“Hal ini sangat dituntut bagi mengurangkan keluhan dan rintihan disebabkan tekanan hidup di kawasan kem pelarian,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau lagi, jika isu ini lambat ditangani, dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan dakyah kumpulan pengganas yang berada di mana-mana.

Katanya, sebelum mereka dibawa pulang, sekali lagi Serantau Muslim mengajak semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang Islam seluruh dunia mempunyai rasa ‘cubit paha kanan, paha kiri juga terasa sakitnya’ dengan membantu semaksimum mungkin pelarian muslim Rohingya yang berada di kem-kem pelarian walau di mana-mana negara.

Tambahnya, hal ini secara tidak langsung mengelakkan mereka mendapat bantuan daripada pihak yang ingin mempergunakan mereka dan sekali gus dapat menghalang mereka daripada terdedah dengan perkara yang bertentangan akidah seperti fahaman Salafi Wahhabi.

CATEGORIES