Isu seleweng minyak bukanlah hal baru namun sindiket ini licik dalam menukar cara operasi mereka agar tidak ditangkap.
Satu sindiket disyaki mengubah suai tangki asal treler untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Perak.
Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyaksikan rampasan bernilai RM1,002,705 lapor Kosmo! Online.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan.
Risikan pihaknya mengambil masa seminggu di sekitar Hutan Melintang selain menerima maklumat dari orang awam.
Berdasarkan pemantauan dijalankan, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan cara menggunakan beberapa kepala treler.
Pihak KPDN Perak mengesyaki treler tersebut telah diubah suai tangki asalnya, sebelum membuat pembelian minyak diesel berulang kali di stesen minyak sekitar Hutan Melintang.
“Minyak diesel yang dibeli itu kemudiannya akan dipindahkan ke skidtank yang diletakkan di sebuah premis disyaki tidak berlesen.
“Ketika serbuan dilakukan, sindiket ini sedang memindahkan minyak dari tangki asal kenderaan ke sebuah skidtank menggunakan pam penyedut minyak.
“Sindiket dipercayai kemudiannya akan menjual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.
“Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan anggaran sebanyak 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel di lokasi kejadian.
Kamalludin berkata, cecair yang disyaki minyak diesel, lapan buah skidtank, peralatan pam penyedut, tiga buah treler dan dua buah lori 5 tan telah disita untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,002,705. Dua orang lelaki tempatan berumur 50 dan 61 tahun yang disyaki pemandu dan pengurus premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Stesen minyak yang disyaki bersubahat juga akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Baca juga: Tambah lagi 2 tahun, kerajaan Kelantan maklum KB Sentral dijangka siap menjelang 2027