Malaysia Dateline

Seleweng RM600 bilion: Sany Hamzan bakal ketengah bukti

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan bakal mengetengahkan bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taman Templer itu berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini saya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu.

“Saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

“Saya juga akan hadir dengan bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku,” dipetik BH.

Beliau berkata, pihaknya setakat ini musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN) dan meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan ke Istana Negara esok bagi menyerahkan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

Semalam, SPRM sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.