Malaysia Dateline

Husam Musa

Seleweng tanah: Husam menang saman fitnah, jumlah gantirugi belum ditentukan

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa memenangi saman fitnah yang dikemukakan kepada Masri Che Yusuf berkaitan satu status facebook mengenai dakwaan penyelewengan tanah.

Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu hari ini, membenarkan saman dan tuntutan Husam ke atas pengetua sekolah menengah agama itu kerana telah memfitnah beliau.

Hakim Datuk Ahmad Bache’ di dalam penghakimannya mengatakan bahawa mahkamah berpuas hati bahawa elemen bagi kes fitnah telahpun dipenuhi dan dengan itu telah membenarkan tuntutan Husam dengan kos RM10,000.

“Jumlah gantirugi pula akan ditaksirkan oleh Mahkamah selepas ini,” katanya.

Menurut peguam Husam, Hisham Fauzi, Masri  AJK Dewan Ulama Pas Kelantan dan AJK Kawasan Ketereh di dalam akaun Facebooknya pada 27 Oktober 2015, telah menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam telah secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 Hektar

“Tuduhan itu telah dinafikan Husam di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, semasa perbicaraan kes ini tuduhan salahguna kuasa dan kedudukan Husam semasa menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan termasuklah pemberian tanah berkenaan kepada satu syarikat yang dikatakan Husam mempunyai kepentingan dan projek kambing Jamnapari di bawah program jihad ternak telah ditimbulkan di dalam keterangan Masri.

“Walau bagaimanapun mahkamah telah menolak keterangan Masri dan membuat keputusan bahawa semua tuduhan itu adalah tidak berasas,” katanya.

Perbicaraan penuh kes ini katanya telah dijalankan selama 4 hari iaitu pada 7 Februari, 14 Februari, 5 April dan 15 April 2018.

“Semasa hujahan lisan di akhir kes telah dijalankan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lepas iaitu pada 14 Jun,” katanya.

Husam yang juga Penasihat AMANAH Kelantan diwakili peguam Faiz Fadzil dan Hisham Fauzi manakala Ustaz Masri diwakili Wan Rohaimi Wan Daud.

“Kes ini menunjukkan sikap integriti yang tinggi diamalkan oleh pemimpin AMANAH yang harus dijadikan contoh kerana tidak menyeleweng dalam tadbir urus,” kata Fadzil ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.