Malaysia Dateline

Selisih faham, yang untung adalah syaitan, kata Ebit Lew

Pendakwah yang juga dermawan Ebit Lew memohon maaf semua yang memfitnah dan menjatuhkan imej beliau semenjak kontroversi yang berlaku berhubung misi kemanusiaan ke Gaza.

Dalam hantara terbarunya petang ini, beliau memaafkan semua yang pernah memanggilnya syaitan, dajjal, babi, bodoh, penunggang, dan lain-lain.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah ayah saya, bidadari saya, dan anak-anak saya. Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila.

“Saya dengan ini dari hujung rambut sampai hujung kaki minta maaf pada sesiapa sahaja yang langsung atau tak langsung atas apa yang berlaku ini” katanya.

Tegas Ebit Lew bahawa niatnya tidak lebih daripada hanya mahu menjelaskan tuduhan terhadapnya.

“Saya berpesan pada diri saya dan kita semua supaya bersatu hati dan marilah kita bersama berdoa supaya Allah angkat musibah covid ini.

“Semoga Allah beri kekuatan pada barisan hadapan dan semua yang ditimpa virus ini sembuh. Berat keadaan negara kita semua,” katanya.

Beliau meminta agar perselisihan faham ini tidak perlu dipanjangkan lagi di kala ramai orang miskin dan anak yatim lapar di luar sana begitu juga ramai hilang kerja dan tempat tinggal.

“Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat,” katanya.

Ebit Lew menyifatkan syaitanlah yang akan mendapat untung apabila berlakunya perselisihan faham antara mereka.

“Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya ya.

“Cukuplah sampai sini ye. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat mak ayah saya,”kata beliau.

Terdahulu, konflik melibatkan Ebit Lew dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Caprice berhubung misi kemanusiaan di Gaza, Palestin terus memuncak dengan lebih banyak perkara didedahkan oleh pendakwah itu.

Terbaharu, Ebit dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Instagramnya semalam turut menafikan segala dakwaan oleh Nadir termasuk isu bayaran wang kepada pihak tertentu untuk memasuki Gaza.

Penafian itu dibuat hanya sehari selepas Ebit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung dakwaan yang dibuat oleh Caprice dan Nadir.

Menurut Ebit, pihaknya menyangkal dakwaan kononnya telah membayar harga yang tinggi kepada syarikat Hala semata-mata untuk memasuki Gaza.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah yang melampau kerana dia sama sekali tidak tahu mengenai syarikat tersebut, sebaliknya proses memasuki Gaza adalah melalui Kedutaan Malaysia.