
Seludup barang subsidi bukan perkara baru,kata MPN Perlis
Ia telah berlaku sejak puluhan tahun di sepanjang sempadan negara dan adakalanya ia begitu ketara.
Demikian dinyatakan oleh Pengerisi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Amran Kamarudin.
Jelasnya, kadangkala pihak yang menjalankan penyeludupan akan berhenti seketika kegiatan mereka setelah dapat menghidu kehadiran pegawai atasan yang ada di sempadan.
Namun begitu katanya, aktiviti penyeludupan tersebut tidak akan berhenti lama, sebaliknya akan kembali aktif dalam kadar yang begitu singkat.
“Selagi pengawal-pengawal sempadan mengambil sikap sambil lewa maupun bersekongkol dengan penyeludup maka aktiviti ini tidak akan ada titik noktahnya.
“Ia tidak akan mudah terhenti di situ setelah turut dipengaruhi oleh keadaan ekonomi yang agak perlahan dan tidak menentu.
“Kegiatan penyeludupan seolah-olah tidak dapat dikawal sehingga memberi impak negatif apabila negara kehilangan berbilion ringgit.
“Subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini telah mengalir ke negara jiran dengan begitu mudah sekali, ” tegasnya.
Sehubungan itu ujar Amran lagi, agensi-agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM serta pihak Kastam tidak hanya boleh mengharapkan kepada pegawai-pegawai tinggi mereka di sempadan semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, bagi memastikan kegiatan penyeludupan ini dapat dibanteras dan dihentikan secara total, pegawai-pegawai di peringkat atasan khususnya di sempadan wajib dipantau oleh pegawai-pegawai ‘undercover’ dari ibu pejabat yang akan melaporkan terus kepada ketua pengarah masing-masing.
Sekiranya tindakan ini dapat dilaksanakan tambahnya, ia akan mampu menyekat dan menghalang kegiatan penyeludupan ini dari terus berleluasa dan bermaharajalela sepertimana yang berlaku sebelum ini.