Malaysia Dateline

Seluruh dunia kini tahu Mahiaddin dalam bahaya

Boleh dikatakan seluruh dunia kini tahu tentang suasana politik yang panas di Malaysia, terutama tentang kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang diambang bahaya.

Mahiaddin pada semalam telah mencetuskan keadaan tidak terkawal apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

Desakan demi desakan pelbagai pihak silih berganti untuk Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatannya termasuk dari rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) sendiri iaitu Umno.

Media-media luar negara juga melaporkan tentang politik Malaysia selepas Agong menzahirkan kekecewaannya terhadap tindakan menteri undang-undang di dalam Dewan.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan bahawa teguran dari Raja Malaysia telah menambahkan lagi masalah Mahiaddin.

Rangkaian berita antarabangsa milik Perancis yang berpengkalan di Paris iaitu France 24 turut melaporkan hal yang sama dengan tajuk beritanya ‘Mahiaddin didesak letak jawatan selepas teguran Raja yang jarang berlaku’.

Selain itu, isu tersebut mendapat perhatian media-media di beberapa negara antaranya The Straits Time di Singapura, The Jakarta Post di Indonesia, The Diplomat di India, This Week in Asia di China (South China Morning Post), Nikkei Asia yang berpengkalan di Jepun.

Pada masa sama, media The Washington Post juga melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia sedang berada di bawah tekanan untuk meletakkan jawatan selepas teguran Raja bahawa kerajaan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Pada semalam, ekoran kekecohan berlaku di Parlimen, sesi persidangan telah ditangguh lebih awal pada jam 12.45 tengahari selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan titah Istana Negara di dalam Dewan.

Bagaimanapun sehingga pagi ini, tiada apa-apa pemakluman bagi pihak perdana menteri untuk meletakkan jawatan seperti yang didesak ramai pihak.

Namun pada semalam, Mahiaddin mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan kerajaan dengan mengatakan bahawa semua tindakan yang diambil oleh mereka adalah teratur dan selaras dengan undang-undang.