Malaysia Dateline

Seluruh Sarawak PKPB kecuali Sibu PKP bermula hari ini

Sarawak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini kecuali Bahagian Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, pelaksanaan PKPB itu bermula 18 Januari jam 12.01 pagi hingga 31 Januari 2021 jam 11.59 malam iaitu tempoh selama 14 hari.

Manakala Bahagian Sibu, JPBN menjelaskan ia telah dikuatkuasakan PKP yang bermula semalam hingga 29 Januari 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19 yang semakin melonjak di bahagian berkenaan sejak seminggu lalu.

“Kita akan melaksanakan PKPB di semua bahagian di negeri Sarawak kecuali Sibu.

“Ini kerana Sibu telah dilaksanakan PKP dan operasi standard prosedur (SOP) berkaitan PKPB ini akan diumumkan hari ini,” kata JPBN.

Pada masa sama, JPBN memaklumkan SOP bagi rumah-rumah ibadat akan dikeluarkan oleh UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain).

“Untuk SOP bagi perhimpunan di rumah panjang dan kampung-kampung akan dikeluarkan Majlis Adat Istiadat nanti,” tambah JPBN lagi.