Malaysia Dateline

SelVax Bergerak: Pra-pendaftaran dibuka untuk yang belum terima vaksin

Penduduk Selangor yang belum menerima vaksin dos pertama dialu-alukan membuat pra-pendaftaran sebelum mendapatkan vaksin di program Vaksin Selangor (SelVAX) Bergerak kerana slot ini adalah terhad.

SelVAX bergerak ini dijadualkan bermula pada 19 hingga 26 September di beberapa lokasi yang ditetapkan.

Bermula esok 19 September orang ramai boleh mendapatkan vaksin di Dewan MPP Zon 4 USJ 1 Subang Jaya dan Apartment Suteramas Sungai Chua.

Maklumat ini dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud di Facebooknya hari ini.

Orang ramai tidak kira warganegara atau bukan yang mahu mendapatkan vaksin ini hendaklah memenuhi syarat kelayakan iaitu mesti berumur genap 18 tahun ke atas.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat pra-pendaftaran di aplikasi SELangkah dengan memasukkan kod baucer yang tertera di poster.

“Sila bawa bersama kad pengenalan atau passport ke lokasi SelVax.

“Sila tonton video tutorial pendaftaran melalui link berikut: https://youtu.be/gxPkFBcMc98.” kata beliau.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memperuntukkan 50,000 dos vaksin COVID-19 untuk digunakan dalam program Vaksin Selangor (SelVAX) Bergerak.

Program vaksin bergerak dilaksanakan kerana masih ada komuniti yang belum menerima vaksin sama ada disebabkan masalah teknikal atau tiada kesedaran (untuk mendapatkan vaksin).