Semai politik saingan idea, bukan rebut kuasa, kata Anwar

Semai politik saingan idea, bukan rebut kuasa, kata Anwar

Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menyemai budaya politik yang berlandaskan saingan idea bagi memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat dan bukan budaya politik merebut kuasa, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penumpuan soal pembangunan negara tanpa dikemudi dengan akhlak yang betul akan menyebabkan salah guna kuasa dan rasuah yang akhirnya boleh menyebabkan sifat tamak kuasa dalam kalangan anggota parti itu.

Katanya, akhlak yang betul dalam kalangan anggota PKR dapat membentuk sebuah budaya politik sihat dengan percambahan pelbagai idea untuk membentuk sebuah kerajaan kuat dalam membantu rakyat bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Politik ini pertandingan idea, ia mesti ada keadilan kita tegakkan untuk semua yang mana keadilan ini mesti ada akhlak. Tidak boleh kita guna kuasa untuk curi duit, senangkan kumpulan tertentu atau buat tidak betul.

“Bila ada jadi menteri kata apa salahnya ada sedikit itu ini, saya kata tidak, tiada tolak ansur kerana kita pegang amanah rakyat. Tiada sedikit pun tolak ansur hal rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PKR Melaka, di Ayer Keroh, pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar; Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew serta kira-kira 500 ahli PKR negeri ini.

Anwar berkata kuasa yang dimandatkan oleh rakyat perlu digunakan untuk membangunkan ekonomi negara yang mana ia penting dalam usaha menghapuskan kemiskinan di negara ini dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

“Sudah 10 tahun pembangunan ekonomi negara pada kadar mendatar, jadi perlu sokong (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) laksana program ekonomi, politik PH harus terus stabil jangan ada komplot sana sini. Terus beri sokongan.

“Kerana kalau kekal begini (pertumbuhan ekonomi mendatar) kemiskinan akan terus berlaku dan akhirnya yang sengsara rakyat. Kaya bertambah kaya, tetapi yang miskin papa kedana,” katanya.

Beliau berkata dalam menilai kadar kemiskinan di negara ini, kerajaan telah bersetuju untuk meminda cara kiraan kadar kemiskinan yang telah digunakan sejak tahun 1971 kepada perkiraan mengambil kira pelbagai