Semai semangat  patriotik sejak kecil, Anwar Ibrahim idola tokoh politik

Semai semangat patriotik sejak kecil, Anwar Ibrahim idola tokoh politik

Pengarah Komunikasi Wanita Amanah Nasional (Awan) Fareedah Samad mengakui Subjek Kajian Tempatan yang dipelajari di sekolah rendah telah menyemai semangat patriotik dalam diri ditambah gaya kepimpinan tokoh politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mencorak perjalanannya untuk aktif dalam kegiatan parti.

Pengarah Komunikasi Wanita Amanah Nasional (Awan) Fareedah Samad mengakui subjek Kajian Tempatan yang dipelajari di sekolah rendah telah menyemai semangat patriotik dalam diri ditambah gaya kepimpinan tokoh politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mencorak perjalanannya untuk aktif dalam kegiatan politik.

Beliau sejak sekolah rendah lagi berpandangan, individu yang terlibat dalam politik merupakan individu yang sayangkan negara.

Fareedah, 31, memberitahu segala-galanya bermula daripada subjek Kajian Tempatan yang dipelajari dari darjah empat hingga darjah enam.

Beliau berkata, subjek ini banyak mendedahkannya kepada sejarah negara Malaysia lebih-lebih lagi guru yang mengajar subjek ini sangat mempengaruhi kesedaran politiknya.

“Saya memang sangat mengagumi Anwar Ibrahim sejak sekolah rendah dan selalu mengikuti ucapan-ucapan beliau di televisyen.

“Selain itu dari mana timbul minat politik, saya rasa dari cikgu yang mengajar subjek kajian Tempatan. Cikgu saya berjaya membuatkan saya rasa bertanggungjawab kepada negara.

“Dari situ, idea yang saya dapat, orang politik ini orang yang sayangkan negara. Bermula dengan semangat patriotisme membawa saya untuk mengenali ahli-ahli politik dan politik waktu itu pada saya masih segar,” kata ibu kepada seorang anak perempuan ini dalam pertemuan dengan Malaysia Dateline baru-baru ini.

Fareedah mengakui, beliau menyimpan impian untuk menjadi aktivis politik sejak sekolah rendah lagi dan mula mempersiapkan diri ke arah itu.

Beliau meminati rancangan Mini Parlimen Kanak-kanak terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), mengikuti pembentangan bajet dan Persidangan Agung Umno semasa zaman kanak-kanaknya.

Berganjak ke sekolah menengah, seterusnya ke peringkat matrikulasi dan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat, minat terhadap politik tidak pernah sesekali pun padam di sanubarinya.

Di peringkat menengah, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.

Walaupun berada dalam aliran sains, beliau sedaya upaya memastikan kecemerlangan dalam subjek agama bagi menguasai asas dalam bidang agama.

Tegasnya, untuk menjadi ahli politik yang berjaya dunia akhirat,seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan agama yang luas kerana dia akan terlibat dalam membuat keputusan dan menentukan dasar-dasar dalam pengurusan negara.

“Memang saya ada pandangan yang sangat jelas, memang ada minat untuk terlibat dalam politik. Bukan bermakna nak jadi pemimpin tetapi penggerak kepada parti politik.

“Perasaan untuk menjadi aktivis parti politik memang tak pernah padam dari dalam diri,” ujarnya yang mesra dipanggil Ayong.

Daripada Umno ke Pas

Fareedah ketika menyertai perhimpunan bersih yang diadakan.Pendidikan agama yang diperoleh sewaktu di sekolah menengah secara tidak langsung mengubah cara beliau berfikir tentang politik.

Peristiwa pemecatan Mufti Selangor Allahyarham Datuk Ishak Baharom pada tahun 1997 akibat melarang wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik turut mempengaruhi pemikiran politik Fareedah yang dilahirkan dalam keluarga Umno ini.

Menurut Fareedah, ayah dan ibunya merupakan ahli Umno sejak beliau kecil lagi malah beliau selalu dibawa menghadiri program-program Umno.

Namun ayah dan ibunya meninggalkan Umno dan menyertai Pas selepas peristiwa pemecatan Allahyarham Datuk Ishak Baharom.

Bekas murid tadika Kemas ini ketika itu mula mencari-cari parti politik yang sesuai dengan prinsip dan kecenderungannya.

Fareedah berkata, walaupun mula didedahkan dengan Pas namun beliau masih berasa ragu-ragu kerana kurang berkenan dengan pendekatan penceramah Pas yang disifatkan sebagai tidak mesra dan agak agresif.

Namun katanya, beliau sudah mengagumi kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu.

“Pada waktu itu ada satu pandangan penceramah Pas cakap pun keras. Masa itu tak minat dengan Pas tapi minat Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. Pengaruh Tok Guru Nik Aziz membantu saya buat keputusan untuk mengikuti program Pas,” cerita wanita berkulit hitam manis ini.

Sewaktu di Universiti Malaya, walaupun sibuk dengan tugasan akademik, beliau tetap aktif dengan aktiviti persatuan antaranya Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan UM.

Tamat belajar, beliau ‘dilamar’ menjadi setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan berkhidmat dengan Gerak selama setahun sebelum terlibat secara aktif dalam Pas sebagai setiausaha Nisa’ dan seterusnya pengerusi Ameerah, Sayap muslimat muda
di bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia.

“Presiden Gerak, Nazri Yunus nampak minat saya dalam politik dan dia ajak saya sertai Gerak. Dia kata penting cari pengalaman dalam NGO sebelum bergiat dalam politik,” katanya.

Tambah beliau, dari 16 siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 beliau terlibat sembilan daripadanya sebagai jentera pilihan raya negeri.

Jika tidak masuk Amanah akan aktif NGO

Fareedah mengakui, sejak muktamar PAS di Johor pada tahun 2014, beliau mula melihat krisis dalam Pas tidak diuruskan dengan baik dalam kalangan pimpinan dan mula berhasrat memperlahankan momentum dalam parti itu dan bergiat aktif dalam NGO.

Ini kerana katanya, beliau dan rakan-rakan dalam kalangan muslimat muda mahu memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat.

“Selepas muktamar PAS di Johor, sebelum pemilihan secara jujur saya dah menurunkan momentum saya dalam PAS. Saya melihat krisis dalam PAS tak diurus dengan baik oleh pimpinan dan orang yang paling berautoriti dalam PAS.

“Krisis itu sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara yang paling baik sebagai parti yang dah 50 tahun usia dan cukup matang tetapi seolah-olah balik ke belakang. Waktu itu saya sudah berkira-kira untuk perlahankan pergerakan dan bergerak dalam NGO,” katanya berterus-terang.

Kenangan Fareedah sebagai lepasan graduan dari Universiti Malaya.Sambil menolak beliau keluar dari PAS disebabkan kekalahan pihak tertentu, Fareedah berkata, selepas penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), beliau mula berkira-kira untuk aktif dalam gerakan itu namun beliau tidak dapat memberikan komitmen yang penuh kerana sedang bergelut menyiapkan peringkat akhir penulisan tesis di peringkat sarjana.

“Pada awal penubuhan GHB saya tak aktif walaupun dah buat keputusan untuk keluar PAS. Tapi masa itu sibuk dengan penulisan tesis. Kebetulan lepas hantar tesis pada 16 September, hari itu juga pelancaran Amanah,” ujarnya.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik ini, perkara pertama yang difikirkan sebelum menyertai Amanah ialah emak dan ayahnya memandangkan kedua orang tuanya bergiat aktif dalam Pas dan banyak memberikan sokongan kepadanya sewaktu dalam Pas.

“Bukan keputusan yang mudah (untuk sertai Amanah) sebab yang pertamaterlintas di kepala bila nak beralih parti ialah mak dan ayah.

“Sepanjang saya berjuang dalam PAS sebelum berkahwin, yang paling kuat beri sokongan ialah mak dan abah. Kalau pergi ceramah pun mak dan abah boleh hantar. Kadang-kadang abah bagi guna kereta kalau nak pergi program jauh. Saya tak nak mereka merasakan segala apa yang mereka buat adalah sia-sia. Itu antara perkara yang paling berat.

“Hari saya membuat keputusan untuk masuk Amanah, masa itu GHB lagi.Saya hubungi mak abah, abah hormati keputusan saya dan dia kata masing-masing ada pandangan masing-masing. Selain suami, abah adalah orang yang sangat memberi sokongan,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan Amanah sebagai parti baharu yang sangat menepati prinsip dan idealisme yang dipegangnya selama ini iaitu perjuangan Islam dan terbuka kepada semua selain mengutamakan isu-isu rakyat.

“Kalau nak masuk PKR atau DAP, dah lama saya masuk. Tapi saya ada prinsip saya sendiri dan bila tertubuhnya Amanah, saya rasa ia sangat menepati prinsip saya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia jika dicalonkan parti dalam PRU14, Fareedah berkata, beliau bersedia berkhidmat di mana-mana sahaja asalkan memberi manfaat kepada parti.

“Sampai tahap ini, apabila membuat keputusan untuk terlibat denga parti politik saya bersedia untuk berada di mana-mana peranan yang dianggap perlu dan boleh berfungsi dengan lebih baik.

“Segalanya terpulang kepada keputusan parti dan saya bersedia untuk berada di mana-mana sahaja.

“Jika berada di belakang tabir itu adalah yang lebih baik, saya ikut.

“Bukan kuasa yang menjadi matlamat tetapi matlamat saya untuk bersama perjuangan rakyat,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami untuk aktif dalam politik.

TAGS