Semak kembali bajet pendidikan, suntik dana PTPTN

Semak kembali bajet pendidikan, suntik dana PTPTN

Kegagalan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan pinjaman sepenuhnya kepada pelajar dibimbangi akan menjejaskan peluang golongan muda untuk menyambung pelajaran.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin terhimpit ekoran kenaikan harga barang dan kos sara hidup, ia akan menyukarkan ibu bapa yang kurang mampu untuk menampung perbelanjaan pengajian tinggi anak-anak mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula bajet pendidikan yang dipotong sebanyak RM2.4 bilion dengan meningkatkan bajet pendidikan dan menyuntik lebih banyak dana kepada PTPTN untuk memberikan semula pinjaman penuh pendidikan.

“Alasan yang diberikan PTPTN bahawa mereka kekurangan dana kerana bayaran balik peminjam terdahulu yang rendah seolah-olah menghukum rakyat.

“Hakikatnya, bukan keengganan membayar balik pinjaman, cuma ketidakmampuan lepasan universiti adalah punca utama.

“Sudah pasti dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi termasuk harga rumah yang mahal telah menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan PTPTN,” katanya yang juga pengamal undang-undang.

Baru-baru ini, Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan pihaknya tidak mampu menyediakan pinjaman 100 peratus kepada bakal pelajar institusi pengajian tinggi ekoran kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN yang rendah.

COMMENTS

Wordpress (0)