Semak pertindihan fungsi agensi kerajaan, bukan kurangkan kakitangan awam

Semak pertindihan fungsi agensi kerajaan, bukan kurangkan kakitangan awam

Salahuddin berkata, kerajaan seharusnya menstruktur semula jabatan dan agensi kerajaan yang mengalami pertindihan fungsi di samping membuat perancangan teliti yang lebih efisen untuk meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan awam.

Salahuddin Ayub

Isu mengurangkan jumlah kakitangan awam seharusnya ditangani secara menyeluruh kerana kesan langsungnya akan mengakibatkan peningkatan kadar penganguran,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menstruktur semula jabatan dan agensi kerajaan yang mengalami pertindihan fungsi di samping membuat perancangan teliti yang lebih efisen untuk meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan awam.

“Agar tidak berlaku lagi kesilapan pada masa hadapan darihal pertindihan yang tidak munasabah dan sangat membazir contohnya, kita lihat situasi hari ini telah wujudnya JPJ, kemudian diadakan pula SPAD?

Apa perlunya TERAJU setelah adanya MARA? Syarikat Perumahan Negara bertindih dengan PR1MA. PEMANDU pula ditubuhkan setelah adanya EPU. Atas nasihat yang tidak matang kepada perdana menteri tertubuhlah 1MDB setelah wujudnya KHAZANAH.

“Begitu juga bila diwujudkan MARITIM, kita lihat berlaku pertindihan tugas dengan Polis Marin dan Kastam Marin yang sepatutnya boleh diselaraskan dengan baik. Ini belum lagi diperbahaskan pertindihan kementerian-kementerian yang tidak perlu dan Jawatan-jawatan lantikan politik yang keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ratusan juta ringgit diperuntukkan untuk membayar gaji dan elaun, peralatan pejabat dan kos mengurus yang tidak sepatutnya berlaku akibat daripada berlakunya pertindihan dalam perkhidmatan awam negara.

“Sebelum membuat sebarang keputusan untuk tindakan mengurangkan Anggota JPA kita, Kerajaan sewajarnya membuat audit pengurusan yang antaranya mengenal pasti masalah, memperhitungkan sumber negara, penetapan polisi kewangan dan perancangan pentadbiran yang kompeten.

“Alasan kerajaan terbeban dengan tanggungan kewangan bagi membayar gaji dan pencen kepada kakitangan awam pada saat negara menghadapi isu kejatuhan ringgit dan kemelesatan ekonomi adalah hujah yang bersifat pra matang serta sangat berat sebelah,” katanya.

Baru-baru ini, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mencadangkan Kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam selagi mampu berbuat demikian.

TAGS