Malaysia Dateline

Semak semula agihan peruntukan Belanjawan 2020 agar mesra mahasiswa, kata PKPIM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesa kerajaan menyemak semula agihan peruntukan dalam Bajet 2020 agar lebih mesra mahasiswa,

Penolong Setiausaha Agungnya Ahmad Farhan Rosli berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat, tiada peruntukan atau inisiatif disediakan buat golongan mahasiswa sama ada dalam bentuk Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) mahupun bantuan dalam bentuk Baucer Buku.

“Berdasarkan rekod lepas, peruntukan bantuan BPPT telah dikurangkan dengan suatu jumlah yang sangat besar iaitu sebanyak RM300 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020.

“Ini jelas bercanggah dengan “janji” Menteri Pendidikan yang dikeluarkan pada 3 Mac 2019 di hadapan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan tentang komitmen beliau untuk mengembalikan semula bantuan baucer buku RM250 kepada mahasiswa sebagaimana yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

“Menteri Pendidikan wajar memberi penjelasan kegagalan beliau mengotakan janji mengembalikan BPPT pada kadar RM250 pada bajet 2020,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya lagi pendirian mahasiswa adalah jelas dalam isu ini. Justeru tidak wajar mahasiswa dimangsakan dalam langkah kerajaan memberikan bantuan kepada golongan lain.

“Sewajarnya, kerajaan hendaklah bersifat lebih telus dan tetap memberi perhatian kepada mahasiswa yang rata-ratanya berhadapan dengan masalah kewangan yang semakin meruncing,” ujarnya lagi,

Tambah Ahmad Farhan lagi, langkah kerajaan menambah peruntukan di semua Universiti awam wajar disambut baik dan diharap dapat membantu universiti awam dalam mempertingkat kualiti pengurusan, pentadbiran dan pembangunan varsiti masing-masing.

Oleh itu, adalah diharapkan agar yuran di universiti tidak dinaikkan lebih-lebih lagi keadaan ekonomi negara yang belum benar-benar mapan. Tegasnya, mahasiswa akan terus menyokong agenda reformasi kerajaan dan akan terus mendesak sikap alang-kepalang Kementerian yang tidak prihatin dengan kebajikan mahasiswa, katanya.