Malaysia Dateline

Semak semula cara parti-parti komponen PH berfungsi, kata Kit Siang

Pendekatan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti komponennya berfungsi perlu diteliti semula untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kemenangan PH pada PRU-15 penting supaya blok tersebut dapat memenuhi janji-janji PRU-14 yang belum dapat dipenuhi sebelum ini.

“Saya percaya masih ada harapan untuk usaha membina negara bangsa Malaysia, untuk kita bergerak meninggalkan politik toksik perkauman dan keagamaan, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti.

“Namun begitu, kita perlu menyemak semula cara Pakatan Harapan dan parti-parti komponennya berfungsi,” katanya ketika berucap kepada pemimpin cawangan dan ahli-ahli DAP di Pekan Nenas, 25 April lalu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gelang Patah berkenaan menyeru agar parti-parti komponen dan pemimpin PH membangunkan cara fikir dan pendekatan yang berteraskan prinsip-prinsip PH untuk menyelesaikan masalah negara.

“PH telah berjaya mencapai perkara yang sebelum ini mustahil dalam membawa peralihan kuasa secara aman dan demokratik pada 9 Mei 2018 kerana kita mengelakkan politik perkauman dan keagamaan yang ekstrem, sebaliknya mempromosikan nilai-nilai moderasi, toleransi, harmoni, dan perpaduan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri percaya bahawa pihak yang menyebarkan kebencian hanyalah sebilangan kecil populasi negara manakala mereka yang rasional, waras, dan bersederhana mewakili sebilangan besar rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.

“Dalam 22 bulan kerajaan PH, kita telah terlari daripada jalan tengah moderasi ini, kita mencuba untuk bersaing dengan mereka yang menyebarkan politik kebencian berasaskan perkauman dan keagamaan.

“Hasilnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berkeciciran — kita telah kehilangan undi orang Melayu dan orang bukan Melayu atas sebab yang berlawanan dengan satu sama lain.

“Pakatan Harapan perlu kembali ke jalan tengah ini dan bukannya bersaing dengan penyebar kebencian perkauman dan keagamaan,” tegasnya.

Tambahnya, PH perlu untuk berjaya dalam membawa agenda Malaysia Baharu dan memenuhi Impian Malaysia dengan semua rakyat Malaysia pelbagai etnik, agama, atau budaya, mempunyai satu identiti utama sebagai rakyat negara ini.

“Saya menyeru kepada semua kader-kader DAP untuk bersatu di belakang parti kita untuk membawa negara kita ke sebuah kemuncak baharu dalam PRU-15 dan juga untuk bersama mempertahankan parti kita daripada anasir-anasir luar yang cuba memecah belahkan dan memusnahkan parti kita ini,” ujar Kit Siang lagi.