Semak semula mekanisme subsidi petrol

Semak semula mekanisme subsidi petrol

Keputusan kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar mulai 2020 merupakan bantuan kerajaan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Pada masa yang sama juga ia mengurangkan beban fiskal negara.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil

Menurutnya lagi, bagi pemberian subsidi kini kerajaan membelanjakan sebanyak RM133 juta seminggu.

Malah katanya, melalui PSP kerajaan dijangka membelanjakan sejumlah RM65.4 juta sahaja sebulan.

“Dengan adanya penjimatan kos subsidi, amaun tersebut boleh disalurkan kepada lebih banyak projek infrastruktur dan pembangunan untuk rakyat.

“Walau bagaimana pun, adalah diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula mekanisme pelaksanaan sistem ini supaya ia benar-benar memanfaatkan rakyat dalam negara ini supaya ia selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Satu garis penentu baharu harus diperkenalkan bagi mengenal pasti penerima subsidi petrol kelak, berbanding data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), ” jelasnya.

Kata Faiz, BSH banya merangkumi isu rumah yang berpendapatan RM4000 dan kebawah sebulan, namun begitu data Jabatan Statistik menunjukkan bahawa pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan rendah (B40) adalah RM4360 dan kebawah pada tahun 2016.

Justeru itu ujarnya, seandainya data BSH diguna pakai, sebilangan golongan B40 (berpendapatan antara RM4000 hingga RM4360) tidak akan menerima subsidi petrol dan akan lebih terbeban dengan kos sara hidup ekoran kenaikan kos bahan api.

“Paras RM4360 untuk B40 adalah mengikut data tahun 2016 dan sudah semestinya paras ini akan meningkat menjelang 2020.

“Adalah mustahak untuk kelayakan penerima subsidi petrol dikaji semula dari aspek julat pendapatan.

“Isi rumah B40 di empat buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan menyaksikan julat pendapatan yang lebih tinggi daripada purata nasional, ” tegasnya.

Oleh kerana itu katanya, sekiranya kadar RM4000 digunakan sebagai ‘cut off’ untuk subsidi petrol, banyak keluarga B40 di Kuala Lumpur dan Melaka misalnya tidak akan layak untuk menikmati peluang tersebut.

Sejajar dengan itu sarannya, kerajaan perlu lebih fleksibel dalam menentukan isi rumah yang layak untuk subsidi bersasar tersebut.

“Tumpuan harus diberikan kepada keluarga miskin bandar, walaupun pendapatan mereka lebih tinggi daripada paras B40 nasional iaitu RM4360.

“Disamping itu subsidi petrol bersasar ini tidak juga boleh mengabaikan golongan M40, khususnya isi rumah yang berpendapatan sederhana rendah atau ‘ lower middle income’.

“Bilangan tanggungan isi rumah harus diambil kira dalam pemberian subsidi dan isi rumah yang berpendapatan per kapita yang rendah harus diberikan subsidi petrol, ” katanya.

Tambah beliau lagi, dalam situasi tertentu, isi rumah M40 yang berpendapatan lebih tinggi daripada purata B40 berkemungkinan mengalami beban sara hidup yang lebih tinggi seandainya mempunyai anak yang ramai.

Sehubungan itu katanya, ia boleh menjadikan pendapatan per kapita isi rumah M40 jatuh ke bawah pendapatan per kapita B40.

“Adalah dicadangkan supaya subsidi dibawah sistem baharu berubah mengikut harga minyak mentah gred Brent dunia dan harus ditambah jika harga petroleum dunia meningkat kelak serta melebihi paras harga bahan api tempatan yang ditetapkan.

“Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan impak inflasi pada masa yang akan datang memandangkan harga bahan api mempunyai kesan domino keatas ekosistem ekonomi.

“Kerajaan disarankan supaya memperkenalkan inisiatif untuk menggiatkan kajian dan pengkomersialan kenderaan elektrik di Malaysia, ” ujarnya.

Katanya lagi, usaha ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan bakar fosil seperti petroleum dalam jangka masa panjang dan seterusnya meletakkan negara satu aras baharu pemodenan negara.