Malaysia Dateline

Semak semula senarai yang perlu dibenarkan ketika PKP penuh

Kerajaan digesa supaya mengambilkira seluruh rangkaian dan rantaian pasaran ketika menetapkan senarai sektor komersial yang perlu dibenar atau tidak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang semakin berlarutan ketika ini.

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline hari ini berkata, TERAS amat prihatin dengan keadaan perniagaan kecil dan sederhana yang terkesan amat kritikal apabila PKP dilaksanakan berterusan.

“Laporan bahawa puluhan ribu peniaga terpaksa menutup operasi dan pekerja terpaksa dihentikan adalah amat serius dan tidak boleh dipandang enteng sama sekali.

“Terlalu banyak sektor yang dikategorikan sebagai bukan keperluan utama telah terjejas akibat rantaian perniagaan dan pasaran yang tidak diambil kira termasuklah bengkel kenderaan dikategorikan sebagai kategori perlu tetapi kedai bekalan alat ganti tidak pula termasuk dalam senarai perlu. Persoalannya bagaimana bengkel kenderaan boleh berfungsi sekiranya alat ganti tidak dapat diperolehi ekoran penutupan sektor terbabit.

“Begitu juga ketidaktelitian yang berlaku apakala kedai buku dan alat tulis bukan kedai yang perlu, tetapi pembelajaran PdPR amat bergantung kepada pelbagai alat tulis untuk fotokopi, salinan nota dan seumpamanya,” ujar beliau.

Sehubungan itu tegas Mohd Azmi, pihak berkuasa harus menyemak kembali senarai perlu dan yang tidak perlu berdasarkan rantaian pasaran serta meneliti bagaimana sektor perniagaan kecil dan sederhana dapat dilindungi dari menanggung kesan negatif akibat PKP yang berlarutan.