Malaysia Dateline

Semak semula skal pencen tentera, kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) memohon agar kerajaan menyemak semula skala pencen veteran tentera yang bersara sebelum tahun 2004 kerana adanya perbezaan besar dalam skala pemberian wang persaraan kepada mereka.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, perkara tersebut telah diajukan beberapa kali kepada pihak berkuasa namun masih tiada keputusan positif yang diterima.

Bagi membantu kerajaan dalam isu berkenaan, beliau juga mengingatkan agar pesara-pesara veteran mengemas kini maklumat mereka dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memandangkan ramai diantara mereka tidak dapat dihubungi selepas bersara.

“Patriot dengan rendah hati meminta semua persatuan veteran untuk bekerjasama dengan JHEV dalam perkara ini. Hubungi semua ahli mereka untuk tujuan mengemas kini rekod,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan melalui Menteri Kewangan telah mengumumkan pemberian bantuan kewangan khas sebanyak RM300 kepada semua pesara termasuk mereka yang tidak mempunyai pencen.

Justeru kata Arshad, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersebut, terutama dalam kalangan mereka yang pernah menjawat jawatan dalam barisan pertahanan.

Patriot juga melahirkan prihatin terhadap para veteran yang sudah tua dan terputus hubungan dengan rakan-rakan mereka.

“Mereka mungkin tidak menyedari bantuan kewangan khas berjumlah RM300 ini. Sebilangan besar tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ramai yang tidak mempunyai rangkaian telefon.

“Bagaimanapun, usaha mesti dilakukan untuk menghubungi mereka. Walaupun RM300 sampai kepada mereka lewat, tanda pengiktirafan lebih penting bahawa mereka pernah berkhidmat dan bersedia berkorban untuk negara,” katanya lagi.