Semakan semula reman tiga pelajar tidak wajar, kata peguam

Semakan semula reman tiga pelajar tidak wajar, kata peguam

Peguam, Mohd Fitri Asmuni menyifatkan semakan semula untuk meneruskan perintah reman terhadap tiga aktivis mahasiswa yang ditahan semalam adalah tidak wajar.

“Reman akan tamat esok hari jam 9.40 pagi. Seandainya pihak polis membuat keputusan untuk melanjutkan reman esok, kami akan membuat bantahan sekeras-kerasnya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, semakan semula tidak akan didengar oleh mahkamah pada hari ini memandangkan terdapat prosedur perlu dipatuhi yang menyebabkan pendengaran kes terpaksa dilakukan pada hari lain.

“Kami juga dimaklumkan oleh Mahkamah Ipoh bahawa Pendakwaraya mengikuti kursus dan tidak ada kes-kes jenayah didengar pada masa sekarang termasuk ‘revision’ ini sekiranya ia terus difailkan,” jelasnya dalam kenyataan bersama peguam Khairul Anuar Musa.

Fitri yang juga Ketua Biro Undang-undang (Kanun) Pemuda Amanah Negeri Perak mengulas demikian selepas pasukannya bertemu dengan pihak Mahkamah Majistret Batu Gajah dan Mahkamah Ipoh hari ini.

Untuk rekod, tiga aktivis mahasiswa terbabit ditahan di perkarangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak kerana mengadakan pidato dan mengedarkan risalah dalam siri jelajah kempen himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (#TangkapMO1).

Mereka terbabit Luqman Nul Haqim dan Luqman Fazli masing-masing penuntut Universiti Malaya (UM) serta mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Ashraff Nazrin ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Iskandar.

COMMENTS

Wordpress (0)