Malaysia Dateline

Semakan semula status LTTE tugasan besar menanti Normah

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8)  Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu, Senior Asisten Komisioner Normah Ishak dikatakan mempunyai tugas besar termasuk melakukan semakan semula terhadap senarai pertubuhan pengganas di negara ini.

Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, hal tersebut termasuklah kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Satu lagi tugasan besar menanti beliau (Normah) juga – semakan semula ‘senarai keganasan’ oleh Kementerian Dalam Negeri yang sepatutnya dikaji semula setiap enam bulan.

“Di bawah senarai itu, LTTE masih tetap sebagai organisasi pengganas walaupun ia telah dikeluarkan dari senarai negara-negara lain termasuk Mahkamah Kesatuan Eropah,” dipetik dari kenyataannya di Facebook.

Terdahulu, Kasthuri dalam media sosial itu menyenaraikan pencapaian sejumlah wanita era kerajaan Pakatan Harapan (PH) bermula dengan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama negara dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai wanita pertama yang dilantik menjadi Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Kasthuri yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Hak Asasi dan kesaksamaan Gender turut menyebut pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan Datuk Rohana Yusuf sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Tahun lalu, dua wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP iaitu G. Saminathan dari Gadek, Melaka dan P. Gunasekaran dari Seremban Jaya merangkap Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan antara yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung kumpulan pengganas LTTE.

Untuk rekod, LTTE sudah disenaraikan sebagai pengganas sejak 2014 di negara ini. Sehubungan itu, polis sebelum ini menyifatkan sokongan terhadap LTTE adalah satu kesalahan.

Bahkan, tidak kurang 32 negara mengkategorikan LTTE sebagai sebuah pertubuhan pengganas pada 1990-an termasuklah agensi perisikan antarabangsa seperti CIA, FBI, dan Interpol.

FBI contohnya, telah menyatakan bahawa LTTE adalah kumpulan pengganas yang merbahaya malah lebih bahaya dari Al-Qaeda dan ISIS kerana paling bersistematik, mempunyai kumpulan askar sendiri, perisik terlatih dan skuad pengebom berani mati.