Semakin ramai orang muda muflis antara sebab perlu tukar kerajaan

Semakin ramai orang muda muflis antara sebab perlu tukar kerajaan

Lebih 35,000 orang muda berusia 35 tahun ke bawah diisytiharkan muflis dan perkembangan ini bukan suatu yang baik bagi sebuah negara.

Sehubungan itu, calon Parlimen PKR Rawang William Leong Jee Keen menyeru anak muda bangkit melakukan perubahan pada pilihan raya umum (PRU) esok kerana keadaan ekonomi negara akan bertambah parah jika BN terus diberi mandat memerintah negara.

Berucap pada majlis ceramah kelompok di pusat gerakan pilihan raya PKR, BTP16, Bandar Tasik Puteri, Rawang, malam tadi, William berkata mereka yang diisytiharkan muflis pada usia muda itu bukan kerana sikap suka berfoya-foya seperti berjudi.

“Kebanyakan yang jatuh muflis kerana gagal membayar ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan,” katanya.

Pendapatan yang rendah, ujar beliau menyukarkan rakyat untuk menunaikan komitmen kewangan mereka termasuk membayar ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan.

Golongan muda juga, jelas beliau sukar untuk mendapatkan pinjaman bank dan institusi kewangan bagi membiayai pembelian rumah.

“Jika ada 10 permohonan pinjaman, hanya dua atau tiga sahaja diluluskan bank,” katanya.

Menurutnya, secara jelas pendapatan rakyat negara ini tidak berubah sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru rakyat agar melakukan perubahan bagi masa depan yang lebih baik.

William bersama calon PKR N13 Kuang Salleh Amiruddin (tiga dari kiri).

Seseorang itu boleh diisytiharkan bankrap jika gagal membayar hutang tidak kurang daripada RM50,000.

Kesan daripada perintah Mahkamah Tinggi itu, segala harta hak milik individu yang bankrap akan diletakkan di bawah Ketua Pengarah Insolvensi dan tertakluk kepada tanggung jawab, sekatan dan halangan di bawah Akta Kebankrapan 1967.

Antara kes tertinggi menyebabkan muflis adalah kegagalan melunaskan pinjaman sewa beli kenderaan, diikuti pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.

William akan menghadapi pertandingan tiga penjuru di P097 Selayang menghadapi calon BN, Kang Meng Fuat dan calon Pas, Brig Gen (B) Hashim Karim.

CATEGORIES
TAGS