Semakin ramai pertikai ketelusan Indeks Syariah Malaysia

Semakin ramai pertikai ketelusan Indeks Syariah Malaysia

Setelah menerima teguran Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof, ketelusan Indeks Syariah Malaysia turut dipertikaikan Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam satu kenyataan media, Syed Ibrahim mempersoalkan peratus capaian indeks syariah kerajaan di bidang politik, ekonomi dan pendidikan yang disifatkan beliau tidak menggambarkan kedudukan sebenar.

Indeks Syariah Malaysia 2015 diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Mata keseluruhan indeks bagi mengukur keseriusan kerajaan mencapai lima aspek maqasid (objektif) syariah adalah 75.42 peratus.

Angka itu didakwa dicatat hasil penyelidikan komprehensif dan saintifik selama enam bulan.

Syed Ibrahim menambah, walaupun fungsi Indeks Syariah untuk menilai keseriusan kerajaan menepati piawaian Islam boleh dianggap permulaan yang baik, namun hakikatnya indeks tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar jika dilihat kepada skor setiap lapan (8) bidang utama dan kayu ukur yang digunakan.

“Ia dilihat sebagai propaganda kerajaan untuk menonjolkan seolah-olah prestasi kerajaan dari segala bidang mematuhi kehendak syariah dan membela umat Islam sedangkan rakyat sendiri sedar krisis ekonomi, tatakelola (1MDB, RM2.6 bilion), kepemimpinan dan pendidikan yang dihadapi oleh negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi contoh skor 79.19% yang diperolehi kerajaan di bidang politik dengan tiga input sebagai kayu ukur iaitu penterjemahan gaya urus tadbir negara, pendekatan politik pembangunan yang bersifat holistik dan pembinaan serta penampilan imej islamik dan ‘biah solehah’.

Bidang pendidikan, tambah Syed Ibrahim mencatat skor tertinggi iaitu 82.5% manakala ekonomi meraih skor terendah iaitu 65.27%.

“Jika menggunakan barometer indeks maka pendidikan dianggap cemerlang manakala politik dan ekonomi dianggap baik. Sebenarnya semua bidang utama berkenaan menunjukkan barometer baik dan cemerlang. Tiada satu pun yang sederhana atau lemah. Apakah ini (menggambarkan) keadaan sebenar?” soal beliau.

Menurut Syed Noh, apabila diteliti asas-asas pertimbangan indeks didapati salah satu daripadanya adalah mewujudkan indikator komprehensif dan saintifik bagi menilai komitmen serta tahap keseriusan usaha dan bukannya tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam.

“Dengan kata lain, yang dinilai ialah usaha dan bukan pencapaian. Mungkinkah ini sebab skornya tinggi belaka kerana yang diukur ialah usaha, bukan pencapaian? Pengerusi dan Jawatankuasa Indeks harus memberi penjelasan secara telus,” ujarnya.

Indeks Syariah Malaysia, jelas Syed Ibrahim perlu diukur secara jujur dan ikhlas dan bukan untuk tujuan politik murahan bagi menarik sokongan orang Melayu Islam di atas nama baik syariah.

Indeks Syariah juga, jelas beliau tidak boleh terpisah dengan data sokongan dari indeks-indeks yang lain yang sedia ada serta Laporan Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia.

“Indeks yang berdasarkan input bidang utama yang ‘superficial’ atau cetek tidak boleh dianggap mencerminkan keadaan sebenar. Ianya lemah dari segi isi dan kejujuran yang menyebabkan kredibiliti lemah dan gagalnya memenuhi fungsi indeks berkenaan,”katanya.

TAGS