Semangat 4 pejuang iringi Konvensyen AMANAH Sarawak

Semangat 4 pejuang iringi Konvensyen AMANAH Sarawak

Hari ini 12 Rabiulawal 1441 Hijrah bersamaan dengan 9 November 2019, sebuah bandar di Wilayah Tengah Sarawak, Sibu bakal menerima pemukiman ahli-ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak.

Bakal dihadiri ahli-ahli yang datang dari 13 Cawangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, sesungguhnya Konvensyen AMANAH Sarawak di Sibu merupakan medan ‘mengesahkan panglima’ bagi mengepalai jentera pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Negeri Sarawak nanti.

Ini adalah konvensyen kali Ke-4 Parti AMANAH di negeri ini sejak tertubuhnya pada 5 November 2015.

Menyusuri sejarah penubuhannya, ternyata kehadiran Parti AMANAH ke Bumi Kenyalang dilihat berjalan dengan lancar.

Pada 6 September 2015, Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid dan Ketua Awan, Dr Siti Mariah adalah antara pemimpin yang ‘merintis’ jalan untuk Parti AMANAH bersama-sama Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Pengerusi Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian menyampaikan ceramah mega pertama yang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat tempatan.

Kemuncaknya, pada 5 November 2015, sebuah Pejabat AMANAH Sarawak telah dibuka dan dirasmikan oleh Mohamad Sabu sekali gus menandakan bahawa Parti AMANAH telah mendapat tempat dihati masyarakat di negeri ini.

Selepas itu, pemimpin-pemimpin tersebut telah mengadakan sesi jelajah ke Kuching, Bintulu dan Miri bagi membuka jalan untuk penduduk di Bumi Kenyalang menyertai sebagai ahli parti.

Tahun ini Bahagian Sibu dipilih sebagai tempat ‘bermukim’ ahli-ahli parti.

Dikenali sebagai ‘Bandar Dabai’ kerana masyarakat di Sarawak amat meminati sejenis buah yang sinonim dipanggil ‘dabai’ yang banyak terdapat di sini.

Adalah tidak ‘sah’ jika seseorang yang datang ke Sibu tidak membawa ole-ole buah dabai untuk dibawa balik.

Selain buah ‘dabai’ Sibu juga merupakan sebuah tempat lahirnya empat pejuang Sarawak yang sanggup menggadaikan nyawa menentang penjajah British.

Rosli Dhoby bersama sahabat seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong telah sanggup ‘mati’ demi membebaskan tanah air bumi Sarawak daripada terus dicengkam penjajah British.

Menurut sejarah, Rosli Dhoby merupakan berketurunan Melayu berdasarkan darah ayahnya yang berketurunan Palembang . Manakala ibunya berketurunan Melanau.

Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.

Beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut kerana ibunya telah diugut akan ditembak.

Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya meninggal di tali gantung pada 2 Mac 1950.

Turut sama digantung ialah rakan seperjuangannya, Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.

Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis(penjajah) di Sarawak berakhir secara mendadak.

Keempat pejuang itu dikebumikan di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara.

Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat.

Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.

Ketika itulah keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.

Maka lahir daripada semangat Rosli dan rakan-rakannya itulah, Parti AMANAH Sarawak telah memilih Sibu sebagai tuan rumah Konvensyen Parti AMANAH Sarawak yang julung kalinya diadakan di luar Kuching.

Lebih menarik, usul pertama yang bakal dibawa ialah untuk mengekalkan 13 kerusi PRN11 dikekalkan untuk PRN Ke-12 nanti.

Usul tersebut akan dibentangkan pada Konvensyen Negeri AMANAH Sarawak yang diadakan hari ini.

Menurut Penyelaras Konvensyen Negeri AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang diusul untuk dikekal ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingan.

Katanya, dijangkakan seramai 40 perwakilan dari Petrajaya, Kota Samarahan dan Tanjung Manis akan hadir pada konvensyen kali ini.

“Mereka akan memilih 26 calon yang bertanding untuk mengisi jawatan tertinggi parti di peringkat negeri bagi penggal 2019-2022,” kata Fadillah.