Malaysia Dateline

Semangat Ang berkobar, bendera PH gah berkibar

Seawal jam 7 pagi tadi, sosok warga emas itu gigih berbasikal mengitari Stadium Pontian. Sambil mengayuh, Ang Lay Quek bersorak “Hidup Pakatan” sejurus menempuh kumpulan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Semangat Ang berkobar seperti berkibarnya bendera PH yang dipasang di bahagian depan dan belakang basikalnya. Peluh yang memercik di dahi nampaknya tidak dihiraukan.

Angin dari Selat Melaka yang menerpa Tanjung Piai, kira-kira 30 kilometer dari bandar Pontian terasa membahang lantaran menjadi tumpuan orang politik.

Usai pengumuman enam calon bertanding pun, kelibat Ang masih dilihat mengayuh basikalnya di perkarangan Dewan Jubli Intan Pontian. Ang salah seorang daripada 7,035 pengundi iaitu 13.28 peratus segmen pemilih berusia 60 hingga 69 tahun yang akan keluar mengundi.

Walaupun terik matahari semakin menggigit kulit menjelang tengah hari, beliau tetap selamba mengayuh dan sesekali berhenti menghampiri kumpulan penyokong PH.

Lelaki berusia 67 tahun itu antara 52,986 pengundi yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Ang juga salah seorang daripada 22,000 pengundi Cina iaitu 41.52 peratus daripada keseluruhan pengundi di wilayah yang terkenal dengan kawasan pelancongan, Taman Negara Johor Tanjung Piai di tanah penghujung benua Asia.

Sempat ditanya oleh Malaysia Dateline, Ang tetap optimis dan yakin bahawa calon PH, Karmaine Sarbini akan berjaya mempertahankan kerusi P.165 itu.

Bakal pengundi di SJKC Yu Ming itu berpendapat masyarakat Cina khususnya tidak akan mengundi BN walaupun mempertaruhkan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Wee Jeck Seng sebagai calon.

“(Pengundi) Cina kalau marah kepada PH sekalipun, tidak akan undi BN punya,” katanya memberi jaminan.

Selain Jeck Seng, Karmaine bertempur dengan dua lagi calon keturunan Cina iaitu Wendy Subramaniam dari Gerakan dan calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock.

Mereka turut dicabar Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghafar.

Parlimen Tanjung Piai memiliki 27 pusat mengundi masing-masing 11 di Dun N.55 Pekan Nanas dan 16 di N.56 Kukup melibatkan 125 saluran mengundi.