Malaysia Dateline

Semangat berpuak dalam Pemuda AMANAH ditegur

Perwakilan Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda menegur sikap sayap pemuda parti itu yang dikatakan berpuak sehingga menimbulkan pergaduhan antara mereka.

Beliau berkata, tiada guna para perwakilan AMANAH berkonvensyen sekiranya program yang diadakan sekadar menunaikan tentatif tanpa menyelesaikan apa-apa masalah.

Menurutnya, permasalahan utama adalah pasca pemilihan yang membabitkan tiga kumpulan dalam parti itu iaitu Pemuda Bekerja, Bangkit dan Wibawa.

“Kita mesti berterus-terang kita memang ada masalah. Kita ada tiga kumpulan. Pemuda Bekerja, Pemuda Bangkit dan satu lagi kumpulan yang menyampah dengan dua-dua kumpulan ini.

“Kalau konvensyen gagal menyelesaikan masalah ini, kita akan pulang dengan kekecewaan. Masa depan rumah dan parti kita sebenarnya di tangan pemuda. Kalau kita gagal menyelesaikan perbezaan yang sangat remeh, kita tenggelam.

“Saya harap rakan-rakan elak perkara yang memecahkan parti. Kita rai walau mereka ada rasa tak puas hati,” katanya ketika membahaskan pidato Ketua Pemuda AMANAH Nasional semasa Konvensyen Pemuda AMANAH di Melaka hari ini.

Hasbie Muda
Khuzairy Mazlan

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang, Khuzairy Mazlan turut mengutarakan hal yang sama dan menegaskan bahawa sayap pemuda parti perlu kembali mencari titik persamaan jika mahu menumpukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, biarpun sudah setahun berlalu sejak pemilihan kepimpinan pemuda, sehingga hari ini bibit perpecahan masih lagi dilihat.

“Saya ingin menegur para pimpinan. Sampai ke hari ini masih ada lagi bibit perpecahan dan tidak boleh bersama dengan hashtag itu, ini. Saya rasa cukup. Sekarang masa buat kerja, fokus ambil mandat atau PRU-15.

“Kalau sembang isu mandat rakyat tapi masalah dalaman tidak dapat diselesaikan, masih banyak lagi perbezaan dengan hashtag kita guna semasa pemilihan, saya rasa parti kita akan dilihat masih lagi berpuak-puak,” katanya.

Perwakilan Pemuda AMANAH menggesa isu perpecahan dalam sayap itu ditangani.