Malaysia Dateline

Semangat kejiranan rakyat berbilang kaum mangsa banjir di Kota Raja dikagumi

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengagumi semangat kejiranan rakyat berbilang kaum mangsa banjir di kawasan diwakilinya.

Presiden AMANAH itu yang menziarahi penduduk terlibat hari ini berkata, mangsa banjir saling membantu meskipun mereka terjejas dengan banjir besar yang melanda minggu lalu.

“Kesan kemusnahan akibat banjir agak besar. Banyak keluarga terbabit. Namun, saya amat kagumi semangat kejiranan rakyat berbilang kaum, khususnya di Kota Raja ini.

“Mereka saling berganding bahu, tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama.

“Semoga kerukunan kaum terpelihara sebaiknya. InsyaAllah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Mohamad turun padang melawat penduduk di Taman Sentosa, Klang menyampaikan sumbangan berupa wang, makanan dan sabun pencuci untuk kerja-kerja pembersihan rumah.

“Walaupun mereka dilanda musibah besar, namun masih menguntum senyuman. Semoga rakyat di Kota Raja kuat dan tabah,” tambahnya lagi.