Malaysia Dateline

Semangat mahu ke sekolah tetapi tak jadi, gadget pula tidak ada

Kasihan ibu bapa miskin yang tidak berupaya, telah berusaha untuk menyekolahkan anak- anak mereka terutamanya bagi tahun satu, tapi tidak kesampaian apabila pihak kerajaan hanya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di Perlis pada saat akhir sekolah akan bermula.

Demikian dizahirkan oleh Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Perlis, Che Mazlina Che Yob selepas menziarahi beberapa keluarga miskin di mana anak mereka akan mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan sepertimana yang dicanangkan oleh kerajaan baru- baru ini.

“Dalam kawasan Dun Beseri dan Dun Bintong, Perlis baru-baru ini, AWAN Perlis bersama beberapa NGO telah mengambil inisiatif menyumbangkan 200 beg sekolah kepada pelajar yang memerlukan.

“Namun begitu amat menyedihkan apabila terdapat ibu bapa dan waris yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak termasuk menyediakan pakaian uniform dan peralatan sekolah sepertimana yang diarahkan walaupun mereka dalam kesempitan kewangan, sebaliknya hanya mampu memakai pakaian tersebut tanpa dapat menjejak kaki ke sekolah.

“Sepatutnya pihak kerajaan membuat pengumuman lebih awal bukan selepas semua waris dan pelajar membuat persediaan persekolahan dengan kos perbelanjaan yang mencapai ratusan ringgit bagi setiap anak, baru tindakan hendak diambil apabila diarahkan supaya tidak ke sekolah dalam tempoh yang singkat, ” ujarnya yang juga bekas pendidik.

Tambah Che Mazlina lagi, untuk belajar secara atas talian pula bukan semua keluarga miskin di Perlis mampu untuk mempunyai gadjet atau telefon pintar maupun jaringan internet.

Sehubungan itu beliau menyarankan kerajaan supaya memberi perhatian terhadap kemampuan sesebuah keluarga yang miskin untuk mempunyai telefon pintar dan jaringan internet percuma dari terus menerus memberi arahan demi arahan tanpa melihat kemampuan setiap keluarga miskin.