Semangat nasionalisma benteng integriti

Semangat nasionalisma benteng integriti

Ramai yang membicarakan mengenai Ketuanan Melayu sejak akhir-akhir ini. Namun tidak ramai yang faham atau menelusuri sejarah penggunaan istilah tersebut terutama dalam senario politik negara ini.

Sesetengah dari kita lebih gemar beremosi dan beretorik daripada cuba menyelami realiti sebenar status kedudukan Bumiputera di negara ini sejak kita dijajah British.

Ada juga mencadangkan agar istilah tersebut ditukar kepada “Kedaulatan Melayu” walaupun hakikatnya Melayu boleh hilang kedaulatan jika ada payung rakyat yang bermain bisnes dengan kuasa asing hanya untuk kelihatan maju dalam satu bandar baru yang tidak didominasi oleh penduduk tempatan sendiri.

Dengan segala perubahan sosio-politik yang melanda Malaysia pasca PRU ke-14, adalah wajar rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu mencari satu naratif baru untuk menterjemahkan semangat nasionalisme mereka, kali ini secara lebih universal lagi agar turut dapat dihayati oleh kaum-kaum minoriti lain di negara ini. Ada pula yang bertanya, apa relevannya semangat nasionalisme Malaysia? Adakah ia boleh membantu memulihkan ekonomi? Adakah ia mampu mengeratkan perpaduan rakyat negara ini?

Sebagai mukadimmah, izinkan saya beri satu contoh. Apa agaknya jadi jika para pegawai penguatkuasa negara kita yang menjaga sempadan tidak mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terhadap Malaysia?

Bila-bila masa sahaja barangan seludup yang menyalahi undang-undang boleh melepasi kawalan keselamatan dari negara jiran hanya kerana beberapa Ringgit wang rasuah dari para penyeludup tersebut.

Ada pula yang bertanya, kenapa tidak ditekankan konsep dosa pahala dalam agama Islam? Walhal mereka sedar bahawa negara Malaysia ini berpopulasi majmuk di mana tidak semua warganya beragama Islam.

Muslim tidak patut paksa kepercayaannya ke atas orang bukan Islam. Maka semangat yang boleh dikongsi bersama tanpa melibatkan sentimen agama masing-masing ialah semangat nasionalisme tersebut sebagai faktor penguat kepada tahap integriti para penjawat awam, penguatkuasa, ahli politik malah pihak istana sekalipun. Bangsa-bangsa maju seperti Jepun dan Jerman mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi seiringan dengan tahap integriti dalam pelbagai bidang melibatkan mereka.

Satu lagi contoh yang kita boleh lihat di zaman pentadbiran Najib Tun Razak dahulu ialah mengenai kebanjiran warga asing sehingga ada yang secara terang-terangan membuka warung dan kedai runcit di sesetengah kawasan tanpa rasa gentar dengan pihak penguatkuasa.

Kenapa ianya terjadi jika bukan kerana korupsi akibat tipisnya perasaan cintakan negara dan bangsa Malaysia? Salah guna kuasa serta pencerobohan peluang perniagaan oleh warga asing tersebut akhirnya memberi impak terhadap ekonomi rakyat tempatan serta negara.

Walaupun ada penguatkuasa dan penjawat awam negara kita yang tegas berprinsip dalam menjalankan tugas, namun imej mereka telah dicemari oleh para pengkhianat negara yang berselindung di sebalik pakaian seragam, agensi kerajaan, parti politik, malah institusi agama tertentu.

Penguatkuasa yang korup contohnya, berani ambil rasuah dari warga asing kerana mereka tahu warga asing itu tidak berani lapor kepada SPRM kerana mereka sendiri pun mungkin pendatang asing tanpa izin atau telah tamat tempoh visa atau menyalah-gunakan visa mereka untuk tujuan lain.

Cuba llihat perbezaan antara negara China dengan India dari sudut sosio-politik mereka. Walaupun tamadun India juga muncul hampir sama awal dengan tamadun di China, dan masyarakat mereka juga majmuk seperti di China, namun dari segi perpaduan nasional, ternyata China lebih berjaya kerana menerapkan dasar nasionalisme ekstrem kepada rakyat mereka melalui doktrinisasi komunisme ala Mao Zedong (Maoist) yang terus mengetepikan kebebasan identiti etnik-etnik minoriti di negara tersebut.

Amerika Syarikat pula menerapkan semangat nasionalisme kepada warganegara mereka melalui propaganda ancaman pengganas serta aktiviti ketenteraan di serata dunia. Bagaimana dengan Malaysia? Satu formula khusus yang adil tetapi tegas perlu dicari dan diimplementasikan agar semangat nasionalisme ala Malaysia seperti penggunaan Bahasa Kebangsaan, kedudukan Sekolah Kebangsaan dan pengiktirafan terhadap tokoh Kebangsaan dalam negara ini dapat disemat ke jiwa mereka yang mengaku sebagai MALAYsian.

*Penulis adalah MPT Bersatu merangkap Ketua Biro Integriti Armada