Malaysia Dateline

Semangat perpaduan harus digenggam erat

Sempena menyambut Hari Kebangsaan ke 62 pelbagai pihak telah memberikan pandangan berkenaan dengan perpaduan yang terjalin selama lebih enam dekad tersebut.

Antara yang memberi pandangan ada Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang menggalakkan kesejahteraan dan keharmoni di negara ini terus terpelihara.

Selain itu katanya lagi, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi menumpukan pelbagai tanggapan negatif terhadap perpaduan ini.

“Kita merdeka dengan semangat perpaduan dan memang telah menjadi lumrah bahawa hidup di negara ini telah wujud kehidupan pelbagai kaum.

“Tidak ada istilah sesiapa pun pendatang kerana kita semua telah berikrar sewaktu merdeka dahulu sebagai bangsa Malaysia.

“Saya juga ingin menegaskan semua pihak perlu menghormati perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan dan tidak perlu dipertikaikan lagi baik apa kaum sekali pun,” katanya sewaktu ditemui.

Dalam pada itu beliau juga menegah tindakan segelintir pihak yang sengaja menimbulkan provokasi terhadap perpaduan di negara ini.

Setiausaha AMANAH Negeri Johor itu turut berpendapat agar semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian di negara ini dan memfokuskan untuk membangunkan negara bukan meruntuhkannya.

“Saya berharap agar kerajaan perlu lebih efektif menangani segala anasir yang mahu melihat negara ini menjadi kucar kacir dengan isu perpaduan ini.

“Sebaik semua pihak harus memfokuskan perkara yang lebih utama seperti masalah pengangguran, alam sekitar, pembangunan, bantuan rakyat miskin, pendidikan serta pelaburan ke dalam negara.

“Perpaduan yang terjalin ini harus dijaga dengan baik dan sesiapa yang cuba menimbulkan kekacauan seperti pandangan yang ekstrim perlu dipantau serta dikenakan tindakan sekiranya ia menjadi ancaman,” katanya lagi.

Beliau turut memuji serta memberikan penghargaan kepada pihak berkuasa Polis yang sehingga kini melakukan kerja yang baik dalam menjaga keamanan di negara ini.